SEMUA pegawai Pejabat Menteri Wilayah Persekutuan (WP) termasuk Menterinya, Tan Sri TPr Annuar Musa akan menjalani kuarantin secara sukarela di rumah masing-masing.
Pejabat Menteri Wilayah Persekutuan berkata, tindakan tersebut diambil susulan salah seorang pegawai khas disahkan positif COVID-19 dan ujian saringan telah dilakukan.
“Susulan dengan pengesahan keputusan ujian saringan ke atas salah seorang pegawai khas yang positif COVID-19, semua pegawai Pejabat Menteri WP termasuk menterinya akan menjalani kuarantin secara sukarela di rumah masing-masing.
“Ujian saringan ke atas semua kontak rapat juga telah dilakukan dan kini sedang menunggu keputusan masing-masing,” jelas kenyataan tersebut.
Kenyataan tersebut turut menyatakan, kerja-kerja sanitasi di Pejabat Menteri WP, tingkat enam, Menara DBKL 1, sudah dilakukan dan Pejabat Menteri WP akan ditutup untuk tempoh beberapa hari.
Dalam pada itu, Menteri WP turut memohon maaf di atas sebarang kesulitan yang dihadapi. -WILAYAHKU- DIANA AMIR