Berita

Warga KL bakal capai imuniti kelompok awal Ogos ini

MENTERI Wilayah Persekutuan Tan Sri TPr Annuar Musa berkata berdasarkan jumlah itu beliau yakin ibu negara akan mencapai imuniti kelompok seawal bulan depan.
- Diterbit 15 Julai 2021 9:53 AM MYT

PELBAGAI usaha sedang dilaksanakan untuk membuka semula Kuala Lumpur sebagai pusat kegiatan ekonomi utama dengan memastikan setiap warga kota akan melengkapkan dua dos vaksin menjelang Ogos ini.

Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri TPr Annuar Musa yakin penduduk di Kuala Lumpur akan mencapai imuniti kelompok dan pada masa ini hampir 80 peratus warga kota telah lengkap menerima dua dos vaksin COVID-19.

“Sekarang ini, adalah masa untuk kita turun mencari mereka yang tertinggal seperti golongan miskin dan gelandangan untuk divaksin.

“Ini juga tujuan kita menubuhkan RumahPrihatin@GrandSeasons bagi memastikan tiada warga kota yang tertinggal untuk divaksinasi,” katanya kepada pemberita selepas meninjau operasi hari pertama RumahPrihatin@GrandSeasons, di sini hari ini.

Hadir sama, Timbalan Ketua Setiausaha KWP, Datuk Wan Ahmad Uzir Wan Sulaiman, Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Wilayah Persekutuan (YWP) Datuk Zaizalnizam Zainun dan Pengarah Hotel Grand Season, Datuk Ariff Shah Omar Shah.

Annuar berkata, bagi mencapai sasaran itu, satu mesyuarat juga akan diadakan bersama semua ahli parlimen Wilayah Persekutuan, pada esok, bagi membincangkan perancangan Kuala Lumpur setelah mencapai imuniti kelompok.

“Ahli Parlimen di Wilayah Persekutuan dan Ahli Dewan Negara tanpa mengenal parti dan saya mahu mendapatkan pendapat mereka sekiranya Kuala Lumpur ini dibuka nanti dengan prosedur operasi standard (SOP) yang baharu selepas kita mencapai 80 peratus imuniti berkelompok.

“Apabila pada awal Ogos kita dah capai dua dos untuk setiap warga kota, saya berpandangan kita perlu hidup bersama COVID-19 dan kita kena mula buka kegiatan di Kuala Lumpur.

“Jadi saya perlu dapatkan pandangan daripada wakil rakyat macam mana cara yang boleh kita lakukan, macam mana kita boleh buat pemerkasaan komuniti dan kepatuhan SOP,” katanya.

RumahPrihatin@GrandSeason yang mula beroperasi hari ini menawarkan enam komponen utama iaitu Dapur Prihatin, Food Bank, Bilik Penginapan Prihatin, Khidmat Kesihatan Mental Prihatin, Khidmat Vaksinasi Prihatin dan Pusat Gerakan Jejak Prihatin selari dengan konsep Wilayah Cakna dan Wilayah Prihatin bagi membantu rakyat secara lebih proaktif. — WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas