Berita

Patung lilin Lee Chong Wei bakal diabadikan

CHONG WEI-LILIN
CHONG Wei ketika sesi ukuran badan baru-baru ini.
- Diterbit 16 Januari 2020 7:42 AM MYT

KUALA LUMPUR – Datuk Lee Chong Wei bakal memahat satu lagi sejarah dalam arena sukan negara apabila menjadi atlet Malaysia pertama diabadikan dalam muzium patung lilin Madame Tussauds, Hong Kong.

Perkara itu dinyatakan Datuk Lee Chong Wei melalui akaun Instagramnya dan beliau turut gembira serta bangga apabila menjadi atlet pertama negara yang bakal menjadi sebahagian daripada tarikan muzium Madame Tussauds yang pertama di Asia.

Pemenang pingat perak Sukan Olimpik Rio 2016 ini berkata, patung lilinnya akan didedahkan pada suku kedua tahun ini bersama hampir 100 patung lilin tokoh terkenal dunia.

“Terima kasih kepada pasukan Madame Tussauds, Hong Kong yang sangat sabar dan teliti semasa sesi ukuran badan. Sudah pasti pengalaman baharu ini amat bermakna buat saya.

“Patung lilin saya itu akan memakai pakaian ketika Sukan Olimpik 2016 bersama raket dan seolah-olah sedang membuat aksi. Ia akan dibuat di London dan akan dibawa ke Malaysia pada bulan Mac untuk pelancaran rasmi sebelum dipamerkan di Hong Kong,” kata lagenda badminton berusia 37 tahun ini.

Bekas pemain nombor satu dunia yang baru bersara dari arena badminton dunia itu turut berharap agar patung lilinnya itu dapat memberikan inspirasi kepada rakyat Malaysia untuk mempamerkan bakat mereka di pentas dunia. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas