Berita

PLUS Malaysia tidak dijual

PLAZA Tol Sungai Besi
KENDERAAN berbaris di Plaza Tol Sungai Besi, Kuala Lumpur. PLAZA Tol Sungai Besi. - Gambar hiasan
- Diterbit 16 Januari 2020 7:47 AM MYT

“KADAR tol bakal diturunkan 18 peratus

KUALA LUMPUR – Kabinet telah memutuskan bahawa kerajaan tidak akan menjual pegangan PLUS Malaysia Bhd. (PLUS) kepada pihak swasta yang telah mengemukakan bidaan.

Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad berkata, perkara itu diputuskan kerana tawaran yang dikemukakan pihak berkenaan tidak cukup menarik.

“Kerajaan telah membuat kajian ke atas semua tawaran yang dikemukakan syarikat swasta berkenaan selain Khazanah Nasional.

“Cara terbaik adalah tidak menjual PLUS kepada sesiapa sebaliknya terus menguasai pegangan melalui Khazanah Nasional dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP),” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Kompleks Balai Islam Tenaga Nasional Bhd. (TNB) di Bangsar hari ini.

Perdana Menteri berkata, PLUS turut diberikan pelanjutan konsesi untuk mengutip tol hingga 20 tahun.

Dalam hal ini, Dr. Mahathir berkata, orang ramai tidak perlu bimbang dengan pelanjutan konsesi itu memandangkan kadar tol bakal diturunkan 18 peratus.

“PLUS perlu menurunkan kadar tol sebanyak 18 peratus tetapi perlu diingat itu adalah kadar sekarang. Ini bermakna, dalam tempoh 20 tahun, 18 peratus jika dikira dengan kadar nilai ringgit nanti ia tidak terlalu tinggi.

“Jumlah kenderaan akan meningkat tetapi nilai dan kuasa membeli bagi ringgit akan menurun, jadi apa yang diperoleh syarikat konsesi tidaklah terlalu besar sebagaimana difikirkan orang ramai,” jelas beliau.

PLUS merupakan syarikat konsesi lebuh raya terbesar di negara ini dengan pegangannya dikawal Kumpulan UEM, anak syarikat Khazanah Nasional dan KWSP.

Khazanah memiliki 51 peratus pegangan manakala baki 49 peratus dimiliki KWSP. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas