Berita

UNIKL lebar rekod kemenangan

ROEL Bovendeert pamer aksi cemerlang.
- Diterbit 16 Januari 2020 7:37 AM MYT

KUALA LUMPUR – Skuad Universiti Kuala Lumpur (UniKL) terus gah di persada liga dan mengekalkan rekod tanpa kalah selepas tiga perlawanan berturut-turut dalam saingan Liga Hoki Malaysia (LHM) 2020 apabila mereka berpesta gol menewaskan pasukan UiTM 7-0 di Stadium Hoki Tun Abdul Razak, semalam.

UniKL yang diperkuat dengan beberapa pemain kebangsaan jelas berada dalam kelas tersendiri apabila dengan mudah merobek gawang pasukan UiTM menerusi jaringan Razie Rahim pada minit kedua, Faridzul Afiq (7’ dan 46’), Roel Bovendeert (13’ dan 49’), Izwan Firdaus (28’) dan Farhan Mohamad Zain (55’).

Ketua Jurulatih UniKL, Arul Selvaraj berkata beliau menurunkan beberapa pemain muda dan mereka mengambil peluang dengan baik sekali.

“Saya turut gembira dengan persembahan Bovendeert yang menjaringkan gol dalam semua tiga perlawanan setakat ini,” ujarnya.

Sementara itu, satu lagi pasukan dari Kuala Lumpur, Hockedemy KL yang membuat penampilan sulung dalam LHM musim ini akhirnya memperoleh kemenangan pertama selepas tiga perlawanan apabila berjaya membenam pasukan TNB Thunderbolt 4-2 di Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil.

Gol-gol pasukan Hockedemy KL dijaringkan Arif Sabron (18’ dan 26’), Faisol Rozihan (41’) dan Ali Rizwan (42’) manakala gol-gol TNB Thunderbolt dijaringkan Muhibuddin Moharam (37’) dan Syazwan Syafiq Basir (56’).

Keputusan lain bagi perlawanan ketiga LHM 2020, Terengganu Hockey Team (THT) menang selesa 8-2 ke atas Nurinsafi manakala TNB memperoleh kemenangan tipis 2-0 ke atas pasukan Maybank. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas