Lensa

PASAR SENI Nostalgia yang kian sepi

||||
- Diterbit 6 Disember 2020 2:30 AM MYT

CM – akronim ini membawa kata ganti nama bagi Central Market atau Pasar Seni bagi kalangan ramai penggiat seni era 90-an. Pada asalnya, pasar ini dibina oleh British sebagai Pasar Besar Kuala Lumpur yang menjual barangan basah untuk para pelombong timah dan penduduk sekitar Kuala Lumpur pada tahun 1888.

Pernah ada cerita ketika Kuala Lumpur mula membangun dengan pesat pada tahun 1970-an, ada perancangan untuk merobohkan bangunan ini. Namun, campur tangan Persatuan Warisan Malaysia membuat petisyen bantahan terhadap rancangan tersebut dan kini Pasar Seni kekal sehingga sekarang lantas ia dikenali sebagai Tapak Warisan yang menyimpan pelbagai sejarah.

Selepas 97 tahun berlalu iaitu pada tahun 1985, Pasar Besar Kuala Lumpur ini diubah suai menjadi penuh warna warni dan siap pada April 1986. Sejak itu ia mula dikenalkan secara rasmi sebagai Pasar Budaya. Namun warga
tempatan mengenalinya sebagai Pasar Seni.

Antara seniman yang menjadikan Pasar Seni tempat berkumpul untuk mengekspresikan eksperimental seni dan pengembangan budaya adalah Sasterawan Negara A. Samad Said, Datuk M. Nasir, Imuda, Pyan Habib, Sani Sudin dan ramai lagi. Pada hari minggu suasana cukup meriah dengan sambutan warga tempatan yang mencintai seni berkumpul dan berkongsi idea.

Pada tahun 2020 selepas 132 tahun berlalu, Central Market ataupun Pasar Seni hanya menjadi tempat menjual barangan produk kraftangan seni tempatan. Tiada lagi kehadiran insan berjiwa halus berkumpul di sini bagi mengekspresikan kehidupan.

Bagi penulis, seni itu tidak ternilai dan tidak bertempat, di mana ia hadir di situ ada kehidupan. Secara peribadi penulis berpandangan Pasar Seni kini ibarat sebuah nostalgia yang kian sepi tanpa kehadiran pencinta seni, warga seni dan gelombang seni. Jadi, di manakah silapnya?  – AMIN FARIJ HASSAN

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas