Lensa

Diari hujung minggu Diari hujung minggu Menteri Wilayah Persekutuan

- Diterbit 29 November 2020 2:15 AM MYT

SETIAP hari merupakan hari untuk bekerja dan bertemu rakyat kata Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri TPr Annuar Musa.

Ini dapat dilihat setiap hari termasuk hari cuti juga, Annuar akan turun padang untuk bertemu rakyat dan melihat permasalahan yang berlaku dalam Wilayah Persekutuan. Annuar Musa tidak pernah meminggirkan nasib peniaga di mana Jumaat lalu, beliau turun ke Presint 14, Putrajaya untuk menyerahkan sendiri lesen penjaja kepada mereka yang layak.

Bermula di awal pagi Sabtu, Menteri Wilayah itu sudah mula turun ke padang untuk bertemu rakyat yang memerlukan dan turun bersua sendiri serta menyerahkan gerai dan lesen kepada peniaga Orang Kelainan Upaya (OKU), Mohd Nor Abdullah, 28, atau dikenali dengan panggilan “Dek Mat” di kawasan LRT Cheras Flat Seri Johor.

Selepas itu, Annuar menyambung pula rutinnya ke kawasan Chow Kit dan Lorong Haji Taib untuk melihat sendiri permasalahan yang berlaku dalam kalangan peniaga di sana.

Awal pagi Isnin, Annuar turut menyampaikan hadiah tempat pertama dan kedua Pertandingan Mural dan Grafiti ‘Wall Battle’ yang berlangsung di Pasar Borong Kuala Lumpur (PBKL) masing-masing membawa pulang RM5,000 untuk hadiah tempat pertama dan tempat kedua RM3,000.

Tempat pertama kategori grafiti dimenangi oleh Mohamad Fakhri Mohd Salleh dan Muhammad Abqari Ahmad Shakri di tempat kedua. Untuk kategori mural, Muhamad Akmal Thaqib Ibrahim mendapat tempat pertama dan diikuti Raden Hasbullah Radin Abu Bakar di tempat kedua.

Annuar yang juga Pengerusi Yayasan Wilayah Persekutuan (YWP) turut menyampaikan sumbangan oleh YWP kepada pekerja-pekerja PBKL yang kurang berkemampuan.

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas