Berita

Jom naik Bas Ronda Ronda Putrajaya

Bas Ronda Ronda Putrajaya menjadi satu lagi kemudahan untuk pengunjung melawat lokasi-lokasi menarik di Putrajaya. Foto NAZIRUL ROSELAN
- Diterbit 25 Februari 2020 3:46 PM MYT

PUTRAJAYA – Bersempena program Tahun Melawat Malaysia 2020, Perbadanan Putrajaya (PPj) melancarkan produk pelancongan terbaru iaitu Bas Ronda-Ronda Putrajaya.

Presiden PPj, Datuk Dr. Aminuddin Hassim berkata, kemudahan itu  bertujuan menambahkan lagi produk pelancongan yang memaparkan keindahan Putrajaya melalui bas.

“Bas Ronda-Ronda Putrajaya adalah tarikan baharu pelancongan yang menawarkan perkhidmatan lawatan berpandu kepada pelawat dan pelancong yang berkunjung ke bandar ini.

“Bas ini akan membawa pelancong melawat 15 lokasi menarik di Putrajaya seperti Dataran Putra, Jambatan Putra, Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), Jambatan Seri Wawasan, Marina Putrajaya dan beberapa lokasi lagi,” katanya setelah Majlis Perasmian Perkhidmatan Bas Ronda-Ronda Putrajaya dan Pelancaran Coffee Table Books Bird Haven di Dataran Putra hari ini.

Kemudahan bas pelancong itu disediakan dengan kerjasama Tourism Malaysia dan syarikat Elang Wah Sdn. Bhd.

Hadir sama Pengarah Kanan Domestik dan Acara Tourism Malaysia, Datuk Ammar Abd. Ghapar dan Naib Presiden Perkhidmatan Korporat PPj, Kamaruddin Dolmat.

Bas yang berkapasiti 50 tempat duduk itu dilengkapi pelantar pemandangan terbuka di aras atas serta pemandu pelancong terlatih.

Ia beroperasi dari pukul 3.30 petang sehingga 11.30 malam setiap hari.

Perkhidmatan bas pelancong itu mengenakan bayaran RM18 untuk dewasa dan RM10 untuk kanak-kanak manakala warga asing, kadar bayarannya adalah RM28 untuk dewasa dan RM20 untuk kanak-kanak.

Orang ramai boleh menaiki bas tersebut di Dataran Putra dan Putrajaya Sentral.

Dalam pada itu, Aminuddin memberitahu, Tourism Malaysia akan melancarkan satu program yang dinamakan Umrah Transit khusus untuk menarik jemaah umrah dari Indonesia untuk melawat Putrajaya.

“Kami menyasarkan jemaah Indonesia yang transit di di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan KLIA2 untuk melawat destinasi pelancongan yang ada di Putrajaya,

“Program ini masih dalam peringkat perbincangan dengan agensi-agensi pelancongan di Indonesia dan kami menyasarkan kira-kira 20 peratus daripada jemaah yang transit di lapangan terbang dapat datang ke Putrajaya,” katanya – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas