Berita

“Pakaian hanyut, kotor”- Munawwareen sumbang telekung memudahkan mangsa banjir solat

Hassanuddin Mohd Yunus
- Diterbit 31 Disember 2021 10:00 PM MYT

PRIHATIN dengan nasib yang menimpa mangsa banjir di Hulu Langat, Selangor, Munawwareen Holdings Sdn Bhd melalui program Munawwareen Prihatin menganjurkan misi bantuan ke tempat terbabit.

Antara sumbangan yang diberikan adalah 250 pasang telekung kepada mangsa banjir untuk mengerjakan solat.

Namun ada segelintir netizen mempersoalkan sumbangan telekung kerana bagi mereka mengenakan pakaian harian pun boleh menunaikan solat.

 

Pengasas Munawwareen, Datin Aliza Abu Bakar berkata, sumbangan tersebut adalah untuk memudahkan muslimah yang menjadi mangsa banjir mengerjakan ibadat wajib itu.

“Telekung adalah salah satu bantuan yang diberikan kepada mangsa banjir. Ini adalah untuk memudahkan muslimah-muslimah mengerjakan solat.

“Dalam keadaan banjir ini, pakaian semua dah hanyut. Ada yang kotor dan tak boleh cuci. Jadi bila ada telekung itu memudahkan solat.

“Memang pakaian biasa boleh digunakan untuk mengerjakan solat asalkan dah menutup aurat, tetapi dalam keadaan darurat sekarang tak semua pakaian yang ada itu boleh menutup aurat (untuk solat).

“Dalam kesempatan ini, saya mengambil cara yang mudah untuk memberikan semua stok saya kepada mangsa banjir.

“Termasuk juga abaya (pakaian muslimah yang menutup aurat) saya tak mengutamakan telekung sahaja. Abaya pun saya sediakan (100 pasang),” katanya yang ditemui dalam program Munawwareen Prihatin di Kampung Paya Lebar Sungai Lui, Hulu Langat, Selangor.

Ahli Parlimen Hulu Langat, Hassanuddin Mohd Yunus (tengah), menyerahkan bantuan tajaan
Munawwareen Holdings Sdn Bhd kepada Tok Batin Kampung Paya Lebar Hulu Langat, Aning A/L Embong, sambil diperhatikan oleh Pengasas Munawwareen, Datin Hajah Aliza Abu Bakar (kanan); Pengarah Eksekutif Munawwareen, Datuk Mohamad Azri Abdul Rahman dan Datin Sharifah Mahiza Syed Abdul Kadir (kiri).

Aliza juga tidak mahu memikirkan apa yang diperkatakan oleh netizen sebaliknya mahu meneruskan niatnya mahu membantu mangsa banjir yang berada dalam keadaan sukar.

“Memang netizen cakap pakai baju pun dah boleh solat. Abaya yang saya bagi pun sudah mengikut kehendak syarie yang membolehkan mereka solat.

“Saya tak kisah apa netizen cakap. Cuba kita lihat keadaan banjir di sini. Ada rumah yang terbalik. Bayangkan itu rumah kita. Rumah mak ayah kita. Apa lagi yang ada pada diri kita.

“Ini kerana keperitan itu hanya dirasai oleh jiwa-jiwa yang pernah merasai kesusahan.

“Saya sendiri berasal dari keluarga yang susah. Jadi saya beri bukan sebab saya ada sesuatu yang berlebihan, saya bukan nak show off atau nak kata bagi semua stok saya, tidaklah.

“Sebab saya sebenarnya asal orang susah, jadi saya tahu peritnya rasa susah itu. Dan saya sendiri merasai keperitan orang di sini. Allah bagi rezeki kepada saya untuk diberikan kepada mereka.

“Jadi kita ambil iktibar musibah ini tidak diberikan kepada kita, jadi kita bantulah apa yang patut. Memang itu niat saya untuk membantu,” jelasnya lagi.

 

Sumbang lampu solar untuk mangsa banjir, basikal elekronik untuk anggota PDRM

Bukan sahaja telekung, pihak Munawwareen turut menyerahkan 30 unit lampu solar buat mangsa banjir dan basikal elektronik (E Bike) untuk kegunaan anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang bertugas.

BANTUAN yang diberikan sedikit sebanyak meringankan beban mangsa banjir.

Menurut Aliza, dua peralatan berkenaan disumbangkan selepas mengenal pasti situasi di sesetengah kawasan terputus bekalan elektrik akibat tragedi banjir kilat terburuk yang pernah berlaku dalam sejarah Malaysia pada 18 Disember lalu.

“Bukan sahaja tiada bekalan elektrik, tetapi ada sesetengah kawasan sampai hari ini walaupun sudah dua minggu tragedi itu berlaku, namun masih sukar diakses oleh kenderaan pacuan empat roda gara-gara kemusnahan teruk.

“Kesukaran pihak PDRM dan Angkatan Pertahanan Awam (JPA) membuat rondaan dan menyalurkan bantuan di kawasan berkenaan, sekurang-kurangnya dapat bertugas dengan lebih efisien apabila adanya E-Bike sumbangan Munawwareen.

Aliza berkata, setelah tiga kali berulang alik ke Hulu Langat beliau mendapati keperluan seperti telekung abaya, sejadah dan lampu solar sangat diperlukan kerana ada sesetengah kawasan yang langsung tiada bekalan elektrik.

SUMBANGAN basikal elekronik atau E-Bike kepada anggota PDRM untuk memudahkan proses pemantauan.

Sejumlah 23 barangan keperluan asas lain turut disumbangkan program kendalian Munawwareen.

Antara barangan lain yang turut disumbangkan adalah life jacket (100 unit), tuala (100 helai), sejadah (100 helai), tong gas (50 unit), dapur gas (62 unit), pemanas air (50 unit), tangki air (4 unit), water pump (2 unit), tikar getab) 60 set), khemah (10 biji) dan banyak lagi peralatan lain.

“Sebahagian sumbangan barangan ini akan diserahkan kepada Pusat Pemindahan Sementara (PPS) manakala sebahagian lagi akan diuruskan PDRM. Ini berikutan kawasan terjejas teruk di pedalaman yang sukar diakses dan hanya mampu dipantau pihak PDRM dan Jabatan Pertahanan Awam (JPA).

“Kami difahamkan anggota PDRM dan JPA telah berada di kawasan pedalaman yang terjejas sejak hari pertama bencana lagi dan akan terus berada di sana menguruskan segala bentuk bantuan makanan dan keperluan sumbangan kerajaan, NGO dan orang perseorangan sehingga semua mangsa selamat pulang ke rumah,” katanya lagi yang turut berasa bertuah kerana program ini mendapat kerjasama erat PDRM dan JPA yang lebih arif dengan pengurusan bencana.

DATIN Aliza ditemuramah pihak media.

“Kerjasama ini antara lain membolehkan kita bertukar-tukar maklumat dan menganalisa barangan keperluan yang benar-benar diperlukan mangsa sekali gus mengelakkan pembaziran,” tambahnya lagi yang enggan mendedahkan nilai sebenar jumlah bantuan program terbabit.

Berat mata memandang berat lagi bahu yang memikul. Dengan bantuan yang disalurkan ini, diharapkan kita dapat sama-sama meringankan beban yang dialami mangsa banjir sekali gus lebih memudahkan tugas pihak pasukan keselamatan PDRM dan JPA dalam mengakses kawasan terjejas. – WILAYAHKU

 

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas