Berita

Rumah musnah sekelip mata, air naik hingga paras dada ‘9 jam kami bertarung nyawa’

ZARIAH (kanan) berkongsi kepada wartawan tentang keadaannya bersama suami dan seorang anak mendepani detik cemas menyelamatkan diri daripada deras air banjir.
- Diterbit 31 Disember 2021 11:00 AM MYT

KETIKA orang ramai sedang lena diulit mimpi, tiga beranak ini berdepan situasi getir apabila kawasan kediamannya mula dinaiki air banjir pada Sabtu (18 Disember) lalu.

Paras air yang meningkat secara mendadak menyebabkan keadaan berubah menjadi kucar-kacir diiringi tangisan dan jeritan pertolongan untuk menyelamatkan diri dan keluarga masing-masing.

Berkongi detik cemas tersebut, Zariah Yub Shamsuddin, 49, berkata dia sekeluarga hanya mampu menyelamatkan diri dan beberapa barangan peribadi sebelum hanyut dibawa arus.

“Air meningkat dengan sangat cepat sehingga paras bumbung. Ketika itu, akak genggam tingkap sekuatnya sambil istighfar kepada Allah manakala abang (suami) dan anak pula melaungkan azan.

“Tiba-tiba tingkap itu pecah, bot yang dinaiki kami pun bergoyang. Kami tidak terdaya untuk menahan dengan keadaan yang sangat gelap beserta deruan air dan hujan yang sangat lebat.

“Kami hanyut dibawa arus jauh daripada kawasan rumah tetapi saya nampak ada satu kereta menyala sedang berpusing-pusing dalam air. Saya rasa bersyukur sangat ketika itu kami sudah berada jauh daripada kawasan tersebut, jika tidak mungkin kereta itu akan menghentam kami sekeluarga,” kongsinya yang telah mendiami rumah itu selama 17 tahun.

Katanya, untuk mengelakkan anaknya ketakutan dan trauma, dia meminta anaknya tidur di dalam bot tersebut dengan keadaan yang
masih cemas.

“Saya tidak mahu dia menjadi trauma jadi saya memintanya untuk tidur. Oleh kerana sakit terkena air hujan, saya selimutkan dia dengan
tuala dan tikar getah yang sempat diambil oleh suami.

“Dalam keadaan huru-hara, saya hanya fikir untuk menyelamatkan keluarga dan diri sahaja tetapi keadaan menjadi senyap secara tiba-tiba selepas pukul 2 pagi. Ketika itulah, saya membayangkan filem Titanic dan ternampak satu cahaya sahaja di hadapan tanpa mengetahui lampu itu datang daripada mana,” katanya yang berada dalam ketakutan kerana menyaksikan sendiri rumahnya runtuh akibat arus banjir.

Menurut Zariah, sebelum kejadian berlaku dia sepatutnya menyambut kedatangan ahli keluarganya daripada Ipoh, Perak namun ia tidak kesampaian apabila dimaklumkan oleh adiknya bahawa jalan untuk masuk ke Batu 18 telah ditutup akibat dinaiki air.

Meskipun telah hilang segalanya dalam sekelip mata, dia sudah redha dengan ujian yang menimpa malah berasa gembira serta bersyukur kerana masih ada pihak yang mendoakan keselamatan keluarganya. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas