Artikel

PADU bakal jadi penyelesaian padu

- Diterbit 29 Mac 2024 12:48 PM MYT

Oleh ZULKIFLI SULONG

PANGKALAN Data Utama (PADU) akan menamatkan pendaftarannya hujung Mac 2024 ini.

Menurut menteri yang menjaga hal ehwal PADU, seramai 6.34 juta atau 29 peratus daripada 30.08 juta rakyat sudah mengemas kini data di sistem PADU setakat 20 Mac lalu.

Tetapi menjelang tarikh tamat tempoh pendaftarannya, Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli berkata pendaftaran PADU naik mendadak. Katanya, kini angkanya telah melepasi lapan juta iaitu menghampiri 50% dari rakyat negara ini yang berumur 18 tahun ke atas, kumpulan yang perlu mendaftar PADU.

Mengikut unjuran yang ada, apabila selesai pendaftaran PADU, kerajaan boleh memulakan bantuan kewangan secara bersasar kepada rakyat yang memerlukan.

Ia sesuai dengan peranan kerajaan, iaitu membantu rakyat yang memerlukan bukan membantu rakyat yang tidak memerlukan bantuan itu.

Sasaran utama program PADU adalah mendapatkan maklumat yang tepat dan komprehensif untuk membolehkan kerajaan membantu rakyat yang memerlukan sebelum memastikan subsidi bersasar berjalan.

Apakah subsidi bersasar yang kerajaan sasarkan sekarang?

Dalam dialog mengenai PADU, Rafizi dengan jelas berkata kerajaan perlu menanggung sekurang-kurangnya RM2 bilion sebulan bagi kos subsidi petrol, sekiranya terus menangguhkan pelaksanaan subsidi bersasar.

“Lebih baik jika RM2 bilion ini, disalurkan dalam bentuk bantuan kepada keluarga (yang layak),” katanya dalam sesi dialog awam PADU 23 Mac lepas.

Rafizi berkata, kerajaan juga sedang mempertimbang cadangan untuk melaksanakan pembayaran atau pengagihan bantuan dalam bentuk pindahan wang tunai secara bulanan terus kepada rakyat.

Beliau berkata reformasi agihan bantuan sosial rakyat yang tidak pernah ditawarkan itu boleh dilaksanakan melalui PADU dan kaedah itu juga dijangka memberi tambahan pendapatan kepada penerima bantuan.

Ekoran daripada kenyataan Rafizi, ramai yang membuat andaian, harga petrol dan diesel akan melonjak naik selepas subsidi bersasar diperkenalkan.

Mungkin ada kebenarannya andaian itu. Ini kerana, kesemua rakyat negara ini, tanpa mengambil kira kemampuan kewangan mereka, menikmati harga diesel dan petrol yang amat rendah berbanding dengan negara jiran kita.

Rakan saya, Ahmad Mursi memberikan analogi berikut mengenainya:-

5 kali Pemandu Grab isi minyak motor Yamaha Y15 (4.2L) dengan membayar RM43, hanya dapat subsidi RM27. Sekali pemandu BMW (70L) isi minyak RM143 dapat subsidi RM91.

Akibat daripada perbezaan ini, golongan T20 yang memakai BMW ini menggunakan RM17 bilion subsidi pada tahun 2022, kata Ahmad Maslan di Parlimen. Banyak manfaat untuk rakyat marhaen boleh dibuat berbanding kerajaan berterusan membantu mereka yang kaya raya ini.

Ahmad Mursi menulis lagi, Petrol RON95 yang dibeli di Malaysia dengan harga RM2.05 seliter, diseludup ke Thailand yang harganya RM5.05 seliter mendapat untung RM3 bagi setiap liter yang diseludup.

“Harga petrol di Singapura pula RM10.15. Jika petrol Malaysia diseludup ke Singapura, penyeludup itu mendapat keuntungan RM8.10 bagi setiap liter yang berjaya diseludup ke negara itu.”

Semua ini hanya boleh disekat jika harga petrol kita diapungkan pada harga pasaran. Ini bermakna, kerajaan kena menarik balik subsidi pukal yang diberikan selama ini.

Bagi membantu golongan yang tertekan dengan kenaikan harganya, kerajaan akan bantu melalui pemberian wang tunai melalui subsidi bersasar.

Inilah gunanya PADU. Walaupun orang memperlecehkan Rafizi dengan ejekan Raja Formula, saya yakin PADU ini memang padu apabila dilaksanakan nanti.

Penulis sekadar memberikan pandangan, bukan mahu membodek Rafizi.

 

 

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas