Artikel

Padah ulat parkir haram

- Diterbit 15 Mac 2024 9:25 AM MYT

AKIBAT menjalankan kegiatan ulat parkir haram di sekitar Kuala Lumpur, lapan individu termasuk lima warga asing, dihukum penjara serta denda oleh Mahkamah Majistret Dewan Bandaraya Kuala Lumpur baru-baru ini.

Tiga orang daripada mereka adalah warga tempatan. lima warga asing terdiri daripada tiga warga India, dan masing-masing seorang rakyat Bangladesh dan Myanmar. Rakyat luar pun nampaknya mengambil peluang mudah mencari wang.

Menurut hantaran Facebook DBKL, kesemua mereka ditahan oleh Jabatan Penguatkuasaan DBKL melalui Tindakan Khas Penjaga Parkir Tanpa Kebenaran atau dikenali sebagai Ops Jaga. Seorang dipenjara 30 hari, empat dipenjara 14 hari manakala tiga yang lain didenda.

Kawan-kawan Kedai Kopi ucapkan tahniah kepada DBKL yang tegas membanteras penjaga parkir haram yang kian berleluasa di ibu kota. Operasi baru-baru ini bertumpu di kawasan Jalan Tun Sambanthan, Sri Hartamas, Jalan Tingkat Tong Shin, Jalan Alor dan Jalan Raja Alang.

Kawasan ini dikenal pasti sebagai lokasi ulat parkir menjaga dan mengutip wang parkir di kawasan awam tanpa kebenaran. Ada di antaranya bersikap agresif meminta bayaran. Jika enggan membayar risikonya kenderaan akan dirosakkan.

Oleh itu kehadiran mereka merupakan ancaman kepada orang ramai. Kerana itu memang tepat DBKL bertindak membanteras kegiatan mereka. Diharap ini akan menjadi pengajaran kepada yang lain agar tidak melakukan perbuatan sama.

Operasi DBKL ini tentu melegakan orang ramai kerana tiada lagi gangguan apabila meletak kenderaan. Tiada lagi didatangi ulat meminta wang, apatah lagi jika mereka sudah pun membayar parkir yang ditetapkan oleh DBKL.

Sangat melegakan apabila DBKL memberi jaminan akan meneruskan pemantauan dan tindakan dari semasa ke semasa, terutama di lokasi yang menjadi tempat tumpuan ramai. Biasanya di kawasan seperti inilah ulat parkir mencari mangsa.

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas