Artikel

Kanak-kanak ajar orang dewasa erti kerjasama

GAMBAR kanak-kanak Melayu dan Cina berpegangan tangan yang tular dalam media sosial baru-baru ini.
- Diterbit 15 Mac 2024 9:20 AM MYT

Oleh ZULKIFLI SULONG

GAMBAR dua orang kanak-kanak perempuan, seorang Melayu dan seorang lagi Cina, bepegangan tangan masuk ke sekolah pada hari pertama persekolahan menjadi tular dalam media sosial.

Ia dilaporkan berlaku di  sekolah Cina di Kajang, SJK (C) Yu Hua. Gambar kanak-kanak perempuan Melayu bertudung dengan kanak-kanak Cina memakai skirt (pinafore) ini disiarkan dalam laman Facebook sekolah berkenaan.

“Saya menyaksikan sesuatu situasi yang menyentuh hati dan membuat saya ingin merakamkannya dengan kata-kata dan gambar,” menurut hantaran dalam bahasa Mandarin itu.

Menurut hantaran itu, murid Melayu berkenaan kelihatan gementar untuk memasuki kawasan sekolah dan ibunya dilihat memberinya kata-kata semangat.

Pada masa yang sama, murid Cina itu turut kelihatan gementar juga.

Namun, kedua-duanya mendapat keberanian dalam diri masing-masing untuk menghadapi  permulaan baharu dalam hidup mereka. Mereka bergandingan tangan dan berjalan bersama dalam diam menuju ke sekolah.

Bagi ahli Parlimen Bangi, Syahredzan Johan ketika mengulas hantaran itu, “Inilah kepelbagaian dan keharmonian yang kita raikan dan wajar kita pertahankan.”

Kajang adalah antara kawasan yang terletak dalam Parlimen Bangi.

Gambar ini sebenarnya memberikan pengajaran kepada orang dewasa di negara kita tentang toleransi, persahabatan dan keperluan saling bekerjasama dalam negara kita yang bermasyarakat majmuk ini.

Ketika orang dewasa berlainan kaum dan agama bercakaran antara satu sama lain, kanak-kanak ini mengajar mereka tentang keperluan bekerjasama.

Ketika kerajaan berusaha untuk memulihkan ekonomi, ada pihak yang berusaha untuk menjatuhkan ekonomi kita dengan membuat ulasan, dakwaan dan gambaran yang bukan-bukan.

Ketika kita berusaha untuk menarik pelaburan dengan memberikan gambaran yang baik tentang negara, ada yang berusaha sebaliknya. Mereka membayangkan negara kita tidak stabil sehingga menghalang usaha pelabur untuk masuk ke negara ini padahal semua tahu pelaburan asing adalah antara kunci utama pembangunan semula ekonomi negara.

Bukan setakat memberikan gambaran, mereka berusaha untuk membuatkan negara tidak stabil semula sebagaimana penggal yang lalu yang menyaksikan negara mendapat tiga perdana menteri.

Kini usaha untuk menggoncang kerajaan dibuat tanpa henti dengan proklamasi ‘Kita sudah cukup jomlah’. Namun rakyat jelas melihat bahawa negara kita bertambah stabil dan usaha itu tidak berhasil.

Seorang TikTokers, Harun Shah membawa cerita Imam Abu Hanifah ketika mengulas gambar dua kanak-kanak berlainan bangsa ini berpegangan tangan.

Satu hari, ketika Abu Hanifah berjalan, tiba-tiba lalu seorang kanak-kanak berlari-lari dengan terompahnya.

Lalu ditegur Abu Hanifah, “Wahai budak, hati-hati. Nanti tergelincir nanti.”

Lalu budak itu menerima nasihat Abu Hanifah dengan mengucapkan terima kasih.

Budak itu bertanya kembali, “Pakcik ini nama apa?”

Lalu Imam Abu Hanifah berkata, “Nama saya Nu’man.”

Lalu budak itu terus berkata, “Oooo inilah ulama besar yang orang selalu sebut tu.”

Lalu budak itu terus memberikan nasihat kepada Abu Hanifah, “Wahai pakcik, wahai imam. Aku pakai terompah, kalau aku tergelincir pun, aku hanya jatuh di dunia saja. Tetapi hati-hatilah dengan gelaran imam dan ulama itu sebab dengan gelaran itulah engkau boleh kekal di dalam neraka selama-lamanya jika kesombongan dan keangkuhan itu menyertainya.”

Harun menyindir para ustaz, imam dan ulama agar mereka tidak khayal dengan gelaran mereka itu. Silap-silap mereka tergelincir sebagaimana nasihat kanak-kanak kepada ulama besar di zaman mereka, Abu Hanifah itu.

Di awal Ramadan ini, marilah kita bersama-sama untuk mengambil semangat bulan yang mulia ini untuk berfikiran positif bukannya saling londeh melondeh.

Penulis hanya sekadar memberikan pandangan.

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas