Artikel

Bahang Raya masih terasa

- Diterbit 19 April 2024 3:43 PM MYT

MASA pantas bergerak. Sudah sembilan hari Aidilfitri berlalu. Yang balik ke kampung halaman telah kembali ke kota atau mana juga destinasi tempat tinggal dan mencari rezeki. Setelah bergembira meraikan Hari Raya besama keluarga, masa untuk kembali bekerja.

Namun keriangan Aidilfitri belum pudar. Bahangnya masih terasa. Bagi ramai orang, Hari Raya diraikan sebulan, sepanjang bulan Syawal. Kerana itu dalam tempoh yang ada, pelbagai majlis atau perjumpaan diadakan sempena meraikan Aidilfitri.

Jika sebelum ini berhari raya di kampung halaman, kini masa berhari raya bersama jiran tetangga atau kawan-kawan serta teman sepejabat. Kerana itulah banyak diadakan majlis rumah terbuka, pejabat terbuka atau apa juga majlis yang menjurus kepada sambutan Hari Raya.

Tiada salahnya mengadakan majlis sedemikian untuk mengeratkan hubungan sesama jiran, rakan atau teman kerja. Dalam keriangan, sangat penting hubungan silaturahim dipererat. Bukan sahaja dalam kalangan teman sebangsa dan seagama, tetapi juga bangsa lain yang turut meraikan.

Inilah tradisi masyarakat Malaysia yang sudah diamalkan sejak sekian lama. Pelbagai kaum saling meraikan perayaan kaum tertentu. Sikap ini mampu memperkuatkan semangat perpaduan dan toleransi dalam kalangan masyarakat yang merupakan ciri penting untuk kesejahteraan negara.

Bagi para peniaga yang berniaga di bazar Ramadan dan bazar Aidilfitri atau dalam talian mungkin kini sibuk membuat kira-kira untung rugi perniagaan. Dilaporkan sebelum ini ramai peniaga, termasuk di ibu kota mengeluh kerana perniagaan kurang mendapat sambutan berbanding tahun sebelumnya.

Mungkin ini kerana ramai mengawal perbelanjaan dan lebih berjimat cermat. Jika ada keperluan baharu berbelanja. Jika pakaian raya tahun lepas masih elok, tidak perlu membeli yang baharu. Wang boleh dijimat untuk keperluan lain. Lagi pun berjimat dan tidak membazir adalah amalan yang wajar jadi pegangan.

Kawan-kawan Kedai Kopi berharap para peniaga bersyukur dengan apa yang mereka peroleh. Rezeki kita telah ditetapkan oleh Allah. Kita hanya berusaha dan berikhtiar. Untung rugi adat berniaga. Insya-Allah mudah-mudahan tahun hadapan akan beroleh keuntungan lebih baik.

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas