Berita

Orang ramai teruja, harap berkekalan

WARGANET sambut baik perkhidmatan yang disediakan dan berharap lebih memudahkan pengguna.
- Diterbit 9 November 2020 4:40 AM MYT

PERKHIDMATAN bas percuma yang diperkenalkan bermula awal bulan ini amat membantu dalam aspek pengangkutan untuk memudahkan urusan serta menggalakkan aktiviti pelancongan di Putrajaya ini.

Ternyata ia mendapat pelbagai reaksi daripada orang ramai yang teruja dengan perkhidmatan bas tersebut. Malah ramai yang berharap agar ia berkekalan dan memberi banyak manfaat kepada semua pihak.

Menurut warganet yang dikenali sebagai Yim Veerasak, dia amat berharap agar kemudahan bas awam sentiasa konsisten agar tidak mendatangkan masalah kepada penduduk yang mengharapkan perkhidmatan tersebut.

“Bukan sahaja daripada segi pengangkutan bahkan penyelenggaraan juga perlu diberi perhatian yang serius agar terus relevan,” tulisnya.

Kenyataan Yim turut ­disambut oleh warganet yang dikenali sebagai Norhisham Mohd Noor yang turut mengharapkan agar kemudahan bas henti-henti ini dipertingkatkan lagi supaya memberi keselesaan kepada pengguna.

Sementara itu, menurut Aina Saat pula, pihak yang bertanggungjawab ­diharapkan tidak ­mementingkan ­aktiviti pelancongan semata-mata­ namun perlu memberi keutamaan kepada warga Putrajaya itu sendiri.

“Beri tumpuan kepada mereka yang duduk di sini dahulu terutamanya pekerja yang ingin ke tempat kerja dan pelajar sekolah. Kasihan budak sekolah kena balik jalan kaki ke rumah apabila bas tak kunjung tiba,” ujarnya. -WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas