Berita

‘Rumah kami bocor, daif’

KEADAAN rumah di Pangsapuri Kampung Sungai Baru kelihatan usang dan membimbangkan.
- Diterbit 9 November 2020 5:34 AM MYT

SUKAR digambarkan betapa terujanya penduduk Pangsapuri Kampung Sungai Baru, Kuala Lumpur selepas mengetahui terdapat pemaju yang sanggup membangunkan semula kawasan yang padat itu.

Mana tidaknya, kebanyakan mereka terpaksa berhadapan dengan keadaan bocor disebabkan rumah yang sudah uzur dan berusia lebih separuh abad.

Malah, keluasannya yang kecil menyukarkan keluarga yang mempunyai ramai anak, lebih-lebih usia anak sudah menginjak belasan tahun.

Seperi yang dialami Bakri Abdul Moin, 68, dia dan isterinya terpaksa tidur di ruang tamu bagi membolehkan anak-anaknya mendapat keselesaan.

“Saya ada seorang anak perempuan dan seorang anak lelaki, jadi mereka diberikan bilik sorang satu.

“Jadi dengan pembangunan semula ini, kami sekeluarga dapat hidup lebih selesa, akan ada tiga buah bilik. Rumah pun lebih besar iaitu 1,200 kaki persegi (kp).

“Selain itu, rumah juga sudah lebih 10 tahun bocor. Jika ingin dibaiki kosnya akan lebih banyak, oleh itu pembangunan semula adalah usaha yang tepat,” katanya ketika dihubungi Wilayahku.

Menurut Bakri yang kini tinggal di rumah transit selepas dia menandatangani dokumen pembangunan semula, keupayaan pemaju Suez Domain Sdn Bhd tidak perlu disangkal kerana unit di Kampung Kerinchi yang didiaminya amat memuaskan.

Justeru ujarnya, dia sangat teruja dan mengharapkan pembangunan semula berjalan lancar serta memberikan keselesaan yang hilang lebih 30 tahun.

PANGSAPURI Kampung Sungai Baru berusia lebih 50 tahun.

Berpandangan sama, Mohamad Razim Aminuddin, 47, turut menyatakan sebagai penduduk yang sudah tinggal di Kampung Sungai Baru sejak lahir (1973), pangsapuri itu bukan hanya uzur malah serba daif dan bocor.

“Lagipun rumah agak lama. Walaupun duduk di tengah bandar, nilaiannya tidak sama seperti tanah sekitar KLCC (Menara Berkembar Petronas).

“Penduduk juga untung kerana Suez Domain tawarkan pakej gantian rumah. Tiada pemaju yang sanggup tawar macam itu,” katanya yang turut yakin pembangunan dapat dilaksanakan selepas kesemua pemilik memberi persetujuan.

Ujar Mohamad Razim, dia menandatangani dokumen perjanjian selepas menyelidik dan mendapatkan pandangan daripada beberapa sahabat yang terlibat dalam pembangunan di Kampung Kerinchi.

Jelasnya, walaupun keinginan kuat untuk pembangunan semula, namun kemampuan pemaju perlu dinilai terlebih dahulu dan jelas pencapaian di Kampung Kerinchi membuktikan keupayaan pemaju.

Bagi Normah Talib, 63, pula, dia sambut baik pembangunan semula yang dirancangkan kerana rumah gantian yang bakal diterima lebih besar.

“Kerinchi yang berusia tidak sampai 50 tahun pun sudah dibangunkan, jadi kenapa Kampung Sungai Baru masih seperti dahulu,” katanya yang tinggal lima beranak.

Tambah Normah, anak juga sudah besar dan berusia antara 23 hingga 30 tahun, oleh itu rumah yang lebih luas sangat diperlukan.

LONJAKAN BERSAMA

Pembangunan bersepadu pastinya membuka pelbagai peluang, sama ada dalam bentuk ekonomi mahupun kemasyarakatan.

Lebih menarik apabila ia tidak terhad kepada individu terlibat sebaliknya keseluruhan yang berada di kawasan sekitar akan turut menikmatinya.

Pengarah Unit Kerjasama Awam Swasta Ritzy Gloss Sdn Bhd, Abdul Hadi Ahmad berkata, pemilik dan penduduk sekitar Kampung Sungai Baru akan menikmati lonjakan pembangunan seperti yang dirasai penduduk Kampung Kerinchi.

“Dahulunya flat Kampung Kerinchi berukuran 380 dan 420 kp dengan nilaian harga sebanyak RM40,000 hingga RM50,000.

“Sekarang saiz lebih kurang 900kp dengan harga sekitar RM450,000. Pemilik yang menyewakan rumah mendapat pulangan berlipat ganda yang mana harga terkini adalah RM1,800 hingga RM2,200 berbanding RM500 sebelumnya.

“Ini kerana di situ terdapat kompleks beli belah, pejabat, kedai di samping mempunyai pelbagai akses pengangkutan seperti transit aliran ringan (LRT),” katanya.

Beliau yang berkata bagi pihak syarikat pemaju Suez Domain Sdn Bhd turut memaklumkan manfaat lain yang diperoleh adalah kenaikkan harga tanah di samping persekitaran mampan dan selesa.

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas