Berita

Lebih 4,000 pengguna mendaftar bas percuma

BAS percuma Putrajaya merangkumi keseluruhan laluan di Putrajaya.
- Diterbit 9 November 2020 4:38 AM MYT

SETELAH ­mendengar keluhan dan ­rintihan daripada pelbagai ­pihak, Kementerian Wilayah ­Persekutuan (KWP) menerusi Perbadanan Putrajaya (PPj) memperkenalkan ­perkhidmatan bas percuma bagi pengguna di pusat pentadbiran kerajaan itu bermula 1 November ini.

Tawaran tersebut ­seolah-olah serampang dua mata apabila selain ­pengguna, pemandu dan beberapa ­pihak terlibat turut mendapat ­manfaat.

Ini kerana, masalah berkaitan bas henti-henti di Putrajaya sering ditimbulkan dan pernah menjadi ‘­trending’ ketika Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) dilaksanakan.

Ia berikutan, ­perkhidmatan bas itu dikatakan ­tidak ­mengikut jadual selain ­laluannya tidak menyeluruh sehingga menyukarkan pengguna.

Susulan ­permasalahan yang dihadapi, usaha yang menyeluruh dilakukan ­bermula awal bulan ini.

Menurut Ketua ­Setiausaha KWP, Datuk Rosida ­Jaafar, sebanyak 40 bas ­percuma disediakan khusus ­kepada warganegara sekali gus membantu meringankan ­beban golongan yang ­terkesan ­pandemik COVID-19.

Beliau berkata, perkhidmatan bas percuma itu akan bermula dengan 10 bas dan ditambah secara berperingkat yang mana pengguna boleh mendaftar bagi mendapatkan kad percuma.

Bagi warga asing pula, ujar beliau, golongan tersebut akan dikenakan caj RM1.50 bagi setiap perjalanan.

“Kemudahan bas percuma ini membabitkan semua laluan bas Nadi Putra di bawah kendalian Syarikat Pengangkutan Awam Putrajaya Travel & Tour Sdn Bhd (PAPTT) membabitkan 12 laluan di sekitar Putrajaya.

“Selain dapat meningkatkan aktiviti pelancongan domestik di pusat pentadbiran ­kerajaan ini, ia mampu membantu memulihkan ekonomi negara,” katanya selepas ­Majlis Pelancaran Bas Percuma di hentian bas Persiaran Perdana, Presint 2 baru-baru ini.

Hadir sama, Presiden PPj, Datuk Muhammad Azmi Mohd Zain dan Naib ­Presiden Jabatan Perkhidmatan ­Bandar PPj, Datuk Azizi Ahmad Termizi.

Mengulas lanjut, ujar ­Rosida, perkhidmatan bas tersebut akan melalui 11 laluan kawasan perumahan, komersil dan pejabat selain di Presint 1 hingga 4.

Beliau berkata, kekerapan bagi laluan ini adalah setiap 15 minit pada waktu puncak, 20 minit pada waktu bukan puncak serta 30 minit pada waktu malam, hujung minggu atau cuti umum.

“Setakat ini 4,000 pengguna sudah mendaftar dan ­mereka berpeluang ­menggunakan perkhidmatan percuma untuk ke tempat kerja dan urusan seharian.

“Inisiatif bas percuma ini membabitkan anggaran kos berjumlah RM12 juta ­setahun dan dijangka meningkat 50 peratus pertambahan ­penumpang ­pada 2021,” ­katanya.

Laluan perkhidmatan bas percuma itu bermula di Kompleks E (T500) melalui kompleks-kompleks kerajaan di sepanjang Persiaran Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Presint 1 (Kompleks A, B, C, D & E) dan Persiaran Perdana (Presint 2, dan 3) sehingga ke Dataran Gemilang Presint 4.

Kekerapan bagi laluan utama itu adalah setiap 5 minit pada waktu puncak ­bermula 6.30 pagi sehingga 9 pagi dan 4 petang sehingga 6.40 petang.

Bas akan bergerak setiap 10 minit pada bukan waktu puncak serta 30 minit pada waktu malam, hujung minggu atau cuti umum. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas