Berita

Kuala Lumpur diisytihar Ibu Kota Buku Dunia 2020

NOR HISHAM berucap mengisytiharkan Kuala Lumpur Ibu Kota Buku Dunia 2020 melalui platfrom digital hari ini.
- Diterbit 23 April 2020 9:01 AM MYT

KUALA LUMPUR  – Walaupun dunia sedang menghadapi pandemik Covid-19, Kuala Lumpur tetap diisytiharkan sebagai Ibu Kota Buku Dunia 2020 sempena Hari Buku dan Hak Cipta Dunia hari ini.

Sejajar dengan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), acara pelancaran tersebut diadakan menerusi media sosial rasmi Kuala Lumpur World Book Capital 2020 (KLWBC 2020) Facebook Page KL Baca, Instagram rasmi @kualalumpurwbc dan Twitter @KualaLumpurWBC.

Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Nor Hisham Ahmad Dahlan yang menyempurnakan pelancaran itu berkata, dengan slogan ‘KL Baca: Caring through Reading’, orang ramai dijemput untuk menyertai pelbagai aktiviti yang diadakan sempena program KLWBC 2020.

“Hari ini dunia menghadapi wabak global yang telah meragut ribuan nyawa dan penyebaran Covid-19 telah memaksa kita untuk menjauhkan diri secara sosial dan melarang kita melakukan aktiviti seharian.

“Walaupun di mana sahaja anda berada, saya sangat berharap semuanya selamat dan sihat dan untuk itu program World Book Capital juga akan disesuaikan dengan keadaan semasa.

“Sehingga semuanya selamat, aktiviti akan diatur secara maya dan akan disiarkan di platform media sosial kita,” ujarnya ketika merasmikan program tersebut secara maya di platform digital di sini hari ini.

DUA gadis membaca buku yang disediakan di Kiosk Buku  di Dataran PPj.  Gambar dirakam sebelum pandemik Covid-19. 

Program tersebut dianjurkan bersama oleh Kementerian Wilayah Persekutuan dan Kementerian Pendidikan.

Program itu digerakkan dengan kerjasama Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Dewan Bahasa Pustaka (DBP), Perpustakaan Negara Malaysia (PNM), Majlis Buku Kebangsaan Malaysia (MBKM) dan Persatuan Penerbit Buku Malaysia (MABOPA).

Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Warisan (UNESCO) mengumumkan Kuala Lumpur sebagai bandaraya hos Ibu Kota Buku Dunia ke-20 pada 2018.

Program KLWBC 2o20 ini akan berlangsung hingga 22 April 2021.

Ibu Kota Buku Dunia mula diperkenalkan UNESCO pada tahun 2000 dengan Madrid, Sepanyol diiktiraf sebagai Ibu Kota Buku pertama.

Sejak itu Ibu Kota Buku Dunia dihoskan pelbagai bandar raya di seluruh dunia hingga ke Sharjah, Emiriah Arab Bersatu pada 2019.

Nor Hisham berkata, sepanjang program tersebut berlangsung, peminat buku dijemput menyertai pelbagai program yang diadakan di media sosial KLWBC 2020 dengan menawarkan hadiah menarik kepada pemenang.

Lebih 400 aktiviti telah disediakan dan beliau turut mengajak pengarang, penyair, illustrator, dan penerbit untuk bersama-sama menyertainya.

“Penglibatan semua amat dialu-alukan dan inilah masanya untuk menunjukkan kehebatan dan kebolehan masing-masing,” katanya. = WILAYAHKU 

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas