Berita

Operasi nyahkuman premis, kawasan awam di Labuan digerakkan

OPERASI disinfeksi dijalankan di bangunan UTC Labuan hari ini.
- Diterbit 30 Mac 2020 9:27 AM MYT

LABUAN: Bangunan Pusat Transformasi Bandar (UTC) hari ini menjalani proses nyahkuman bagi mengelakkan penularan wabak Covid-19.

Ia merupakan sebahagian usaha Jawatankuasa Pengurusan Bencana Labuan selaras dengan arahan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) untuk menjalankan proses nyahkuman di semua premis dan tempat kawasan awam.

Sebelum ini, tingkat atas bangunan itu telah di nyah kuman pada 13 Mac lalu selepas seorang pekerja yang ditempatkan di tingkat dua disahkan positif Covid-19.

Proses melibatkan Pasukan Khas Bahan Kimia Berbahaya (HAZMAT), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Labuan, Jabatan Kesihatan, Perbadanan Labuan (PL) dan Angkatan Pertahanan Awam (APM).

Pengarah JBPM Labuan, Ismaidi Ismail berkata, bangunan UTC yang juga menempatkan kiosk makanan dan pakaian serta dua jabatan kerajaan telah dipilih untuk hari pertama kerja-kerja disinfeksi itu kerana premis itu paling kerap dilawati pengunjung.

“Proses nyahkuman akan dilakukan di tempat-tempat yang kerap dilawati, kawasan umum dan kawasan penduduk yang sangat ramai sepanjang minggu ini,” katanya ketika ditemui.

Beliau berkata, lokasi seterusnya akan dinyahkuman adalah Jalan Hujung Pasir, Jalan Merdeka, Jalan Jati , Jalan Kemajuan, Jalan Bunga Melati, Jalan Muhibbah, Jalan OKK Awang Besar, Jalan Kenanga, Jalan Merdeka, Surau Nur Islam , Sri Ganti, Siswazah Corner, Terminal Feri Antarabangsa Labuan dan sekitar Bangunan Bank Awam, Hong Leong Bank dan Jalan Bahasa.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Labuan, Dr Fary Akmal Osman berkata, proses nyahkuman di tempat awam perlu dilakukan secara rutin bagi membersihkan permukaan yang terdedah dan mencegah penyebaran penyakit.

Labuan sebelum ini mencatatkan lima kes baru Covid-19 pada Sabtu lalu menjadikan jumlah keseluruhan sebanyak 10 kes. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas