Berita

Nursyaqirah jurulatih muda

NURSYAQIRAH
NURSYAQIRAH (kiri) serius ketika sesi latihan. NURSYAQIRAH (kiri) serius ketika sesi latihan.
- Diterbit 10 Januari 2020 5:59 AM MYT

Oleh AINI MAWAWI
[email protected]
Foto NAZIRUL ROSELAN

“SAYA ingin gunakan usia muda ini untuk mempelajari selok-belok dunia hoki dengan sebaik-baiknya,” ujar pemain pertahanan pasukan hoki Wilayah Persekutuan, Nursyaqirah Kassim.
Berusia 21 tahun, dia mengakui masih banyak lagi ranjau perjalanan yang perlu ditempuhi sebelum menjadi pemain hoki terbaik seperti yang dicita-citakannya sejak kecil.

“Saya sentiasa memandang jauh kehadapan dan tidak penat memperbaiki kelemahan setiap kali selepas perlawanan agar ia tidak kembali berulang.

“Paling penting bagi saya adalah tidak mudah menye­rah kalah dan sentiasa optimis dalam mengejar apa yang diidamkan,” ujar pemain kelahiran Sri Petaling, Kuala Lumpur ini.

NURSYAQIRAH

Bakal beraksi dalam Sukan Malaysia 2020 (Sukma 2020) bermula Julai ini di Johor, Nursyaqirah komited dengan latihan yang dijalani lima kali seminggu.

“Biarpun masih banyak lagi masa, namun, itu bukan alasan untuk tidak berlatih. Ini kerana, kami tidak diga­lakkan untuk membuat persediaan pada saat-saat akhir.

“Saya ingin menebus kekecewaan pada tahun lalu yang mana kami hanya berada pada tempat ketiga sahaja. Itu yang membuatkan saya tidak senang duduk,” ujarnya.

Selain itu, dia kini sedang melakukan persiapan untuk Kejohanan TNB Liga Hoki Malaysia 2020 yang akan berlangsung pada hujung minggu ini.

“Alhamdulillah semua persiapan berjalan lancar dan saya bermain untuk pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM),” ujarnya yang mula terlibat dalam sukan hoki ketika berada di sekolah rendah lagi.

Tidak hanya berdiam diri, pemain yang tangkas ketika beraksi ini juga merupakan jurulatih kepada pelajar Sekolah Menengah Perempuan Methodist, Kuala Lumpur.

“Saya diberi kepercayaan untuk mempersiapkan me­reka yang bakal menyertai kejohanan antara zon. Sekurang-kurangnya mereka yang berminat dalam sukan hoki ini tahu hala tuju.

“Sejujurnya ia merupakan satu penghargaan bagi saya. Besar harapan agar mereka menjadi pemain pelapis suatu hari nanti,” ujar atlet serba boleh ini.

Karier utama

Bukan sekadar hobi, Nursyaqirah melihat sukan hoki sebagai karier utama­nya pada masa ini. Malah menurutnya, jika tidak lagi bergelar pemain, dia berminat untuk menjadi jurulatih.

“Saya menjadikan kapten skuad hoki wanita negara, Siti Noor Amarina Ruhani sebagai idola saya. Ini kerana, dia juga bermain di posisi yang sama iaitu pertahanan.

“Pada pandangan peri­badi saya, rentak permainan dia merupakan perkara yang paling saya kagumi. Malah dia sentiasa berjaya mencipta sesuatu yang di luar jangkaan,” ujarnya.

Anak bongsu daripada empat orang adik-beradik ini juga turut melahirkan kesyukuran kerana ibu bapa­nya sentiasa menyokong apa yang dilakukan.

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas