Berita

Dua lagi dijangkiti polio di Sabah

KANAK-KANAK yang dijangkiti polio akan mengalami kaki bengkok. - Gambar hiasan KANAK-KANAK yang dijangkiti polio akan mengalami kaki bengkok. - Gambar hiasan
- Diterbit 10 Januari 2020 6:54 AM MYT

MOHAMAD HAFIZ YUSOFF BAKRI
[email protected]

KUALA LUMPUR – Kementerian Kesihatan hari ini mengesahkan dua lagi kanak-kanak dijangkiti virus polio direkodkan di Sabah selepas satu kes membabitkan seorang bayi lelaki berusia tiga bulan dari Tuaran sebelum ini.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, dua kanak-kanak lelaki itu warganegara asing yang masing-masing berusia 8 dan 11 tahun.

Katanya, pesakit kini masih dirawat di hospital dan berada dalam keadaan stabil.

“Kanak-kanak lelaki berumur 8 tahun yang menetap di Sandakan tidak pernah menerima sebarang imunisasi. Pada 9 Dis 2019, dia mengalami demam dan 3 hari kemudian tidak boleh berjalan.

“Seorang lagi kanak-kanak menetap di Kinabatangan juga tidak pernah mendapat sebarang imunisasi mengalami demam pada 17 Nov lalu dan mendapatkan rawatan di klinik.Kemudian dia dimasukkan ke hospita pada 1 Disember lalu setelah mengadu sakit pada bahagian belakang dan tidak boleh berjalan.,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Dalam pada itu, Noor Hisham berkata, ujian makmal World Health Organization Polio Regional Reference Laboratory (WHO Polio RRL) di Melbourne, Australia mendapati virus polio yang menjangkiti ketiga-tiga pesakit itu mempunyai perkaitan genetik dengan kes polio di Filipina.

Katanya, siasatan rapi telah dijalankan bagi mengenal pasti punca jangkitan kedua-dua kes baru ini sebaik sahaja ia dikenal pasti sebagai survelan “acute flaccid paralysis” (AFP).

“Sehingga kini, seramai 705 penduduk di kawasan tempat tinggal kedua-dua kanak-kanak itu diperiksa dan tiada kes AFP lain yang dikesan.

“Seramai 65 kanak-kanak didapati cicir imunisasi polio dalam kawasan tempat tinggal kes terbabit dan telah diberi suntikan vaksin polio menggunakan vaksin kombinasi serangkai (DTaP-IPV//HiB),” ujarnya.

Beliau berkata, aktiviti kawalan wabak polio di seluruh Sabah juga sedang giat dilaksanakan, manakala Kempen Imunisasi Polio Sabah (KIPS 2019/2020) yang menyasarkan semua kanak-kanak berumur bawah lima tahun di Sabah juga telah dimulakan pada 27 Dis lepas.

Kementerian Kesihatan menyeru penduduk Sabah, terutama ibu bapa supaya memberi perhatian khusus dalam beberapa perkara, termasuk memastikan anak-anak berumur bawah 5 tahun menerima 2 dos vaksin polio secara titis (OPV) semasa kempen itu dijalankan.

Selain itu mereka perlu meneruskan imunisasi rutin di bawah Program Imunisasi Kanak-Kanak Kebangsaan mengikut jadual yang ditetapkan, menjaga kebersihan diri, termasuk mandi menggunakan air terawat, mencuci tangan selepas ke tandas dan sebelum makan serta sebelum menyediakan makanan untuk kanak-kanak.

Beliau turut mengingatkan masyarakat untuk segera mendapatkan rawatan awal di klinik atau hospital berdekatan sekiranya terdapat tanda-tanda dan gejala penyakit polio, sentiasa mengambil langkah pencegahan yang disarankan Kementerian Kesihatan, serta sentiasa memberikan kerjasama dalam semua aktiviti yang dilaksanakan. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas