Berita

Pesaka bariskan pesilat terbaik di Kejohanan Silat Dunia

SITI RAHMAH
SITI RAHMAH (kanan) sahut cabaran Pesaka. SITI RAHMAH (kanan) sahut cabaran Pesaka.
- Diterbit 10 Januari 2020 5:56 AM MYT

KUALA LUMPUR – Berbaki tujuh bulan sebelum berlangsung­nya Kejohanan Silat Dunia di Kuching, Sarawak, Persekutuan Silat Kebangsaan Malaysia (Pesaka) akan memilih pasukan terbaik pesilat bagi mewakili negara dalam kejohanan tersebut.

Setiausaha Agung Pesaka, Datuk Megat Zulkarnain Omardin turut menyatakan bahawa Pesaka akan mengadakan perlawanan ujian pada setiap bulan bagi memastikan hanya pesilat terbaik sahaja yang akan mewakili negara.

“Tiada ruang untuk tidak mempamerkan prestasi terbaik kerana kita tuan rumah. Kami akan menilai prestasi atlet dari semasa ke semasa,” katanya.

Beliau turut memaklumkan PESAKA juga tidak akan teragak-agak menggugurkan mana-mana pesilat yand di­lihat tidak berada dalam prestasi terbaik. Perkara ini telah dimaklumkan kepada pengurusan pasukan dan juga pesilat negara sedia maklum berkaitan hal ini, katanya.

Cabaran tersebut turut disambut baik oleh pesilat-pesilat negara yang tidak gentar dengan cabaran yang diberikan dan semakin bersemangat untuk membuktikan keupayaan dan mempertahankan tempat masing-masing dalam kem negara.

“Setiap bulan akan ada perlawanan, jadi saya rasa ia satu idea yang bagus. Ini untuk memastikan kami sentiasa berada di landasan tepat sehingga Julai nanti,” kata pesilat wanita negara, Siti Rahmah Nasir.

Al-Jufferi Jamari, bekas juara dunia pula berkata, dia akan kembali ke prestasi sebenar dalam tempoh tujuh bulan ini memandangkan kecederaan yang dialaminya tidak serius dan akan menebus kembali kekalahan pada tahun 2018.

Sebagai rekod, pada Kejohanan Silat Dunia 2018 yang berlangsung di Arena OCBC, Singapura menyaksikan Malaysia memperoleh tiga emas menerusi gandingan Mohd Taqiyuddin Hamid dan

Sazzlan Yuga dalam acara Silat Seni Regu Putra, Mohamad Hazmi Amzad dalam kelas Pute­ra C (45-48kg) dan Siti Rahmah Nasir dalam kelas Puteri E (51-54kg).

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas