Selebriti

Noorkumalasari, Sharifah Rose akui rupa paras faktor penting jadi artis

- Diterbit 18 November 2022 12:51 AM MYT

ISU bakat atau rupa yang lebih penting sering menjadi perbualan dalam kalangan peminat dunia seni.

Ia menjadi lebih hangat apabila produser Datuk A. Aida dikecam kerana lebih mengutamakan rupa berbanding bakat.

Membincangkan lanjut perkara berkenaan, satu satu sesi forum bertajuk Antara Cantik dan Bakat? Di Manakah Pengukuh Kredibiliti? telah diadakan pada pagi Isnin bertempat di Universiti Kebangsaan Malaysia, baru-baru ini.

Sebagai salah seorang panel program berkenaan, pelakon muda Sharifah Rose berpendapat memiliki paras rupa menawan boleh membuka jalan seseorang untuk mula menceburi bidang seni.

“Pada awal pembabitan dalam industri saya sangat risau sebab tiada pengalaman tetapi tetap mahu mencuba. Bagi saya benar rupa boleh jadi pembuka jalan namun perlulah ada inisiatif untuk terus belajar.

“Saya pernah dilabelkan sebagai pelakon ‘kayu’. Kritikan itu saya jadikan sebagai pembakar semangat dan manfaat untuk perbaiki diri,” katanya.

Program tersebut turut disertai oleh Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas), Prof. Dr. Md Nasir Ibrahim, pengarah dan penerbit Datuk Yusof Haslam serta dua pelakon lain iaitu Noorkumalasari serta Hariz Hamdan.

Sementara itu Fahrin Ahmad pula menjadi moderator acara tersebut.

Berkongsi pengalaman ketika mula menceburi bidang lakonan dahulu, Noorkumalasari juga setuju jika paras rupa amat penting kerana ia juga merupakan kehendak penonton.

Bagaimanapun jika seseorang pelakon itu mempunyai bakat yang besar, istilah cantik itu dapat diterjemahkan menerusi kualiti lakonan yang disampaikan.

“Penonton mahu melihat rupa dan bakat, jadi memang tidak boleh dinafikan seseorang pelakon itu perlu ada paras rupa cantik. Memiliki kedua-dua itu adalah satu anugerah.

“Bagaimana seorang pelakon yang kurang dari segi paras rupa namun ada bakat besar dia masih boleh menjadi watak utama. Lihat bagaimana industri Hollywood ketengahkan bakat mereka. Cantik itu boleh dilihat menerusi watak yang mereka sampaikan,” jelasnya.

Pada acara tersebut turut hadir sama adalah Pengerusi FINAS, YB Senator Datuk Seri Zurainah Musa, penerbit Datuk A. Aida, Ketua Kluster Komunikasi Pusat Pengajian Media & Komunikasi, UKM, Dr. Ammar Redza Ahmad Faizal serta Presiden Persatuan Penulis Wartawan & Penulis Hiburan Malaysia (WHAM), Datuk Tengku Khalida Tengku Bidin.

Acara ini merupakan anjuran Finas sebagi salah sebuah program sempena Festival Filem Malaysia ke-32 (FFM32) dengan kerjasama WHAM dan Pusat Pengajian Media & Komunikasi, UKM. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas