NHRVR untuk pastikan integriti kajian klinikal di Malaysia

NHRVR untuk pastikan integriti kajian klinikal di Malaysia

MALAYSIA hari ini melancarkan platform Daftar Sukarelawan Penyelidikan Sihat Nasional  (NHRVR) sebagai sebahagian daripada komitmen untuk memastikan integriti dan keselamatan kajian klinikal di negara ini.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah ketika melancarkan platform itu secara maya berkata inisiatif itu akan meningkatkan kebolehan dan keupayaan Malaysia dalam menjalankan kajian klinikal selaras dengan standard antarabangsa.

Beliau berkata wujud keperluan mendesak di Malaysia untuk mengesan pertindihan sukarelawan sebagaimana dilaksanakan secara proaktif di United Kingdom dan Amerika Syarikat, yang mempunyai daftar kajian yang disahkan untuk memantau pembabitan sukarelawan, terutama bagi mengelak pertindihan subjek kajian.

“Dengan mewujudkan platform yang dapat menghalang sukarelawan terbabit dalam kajian secara berlebihan kami berharap dapat mengelakkan kos prosedur saringan yang tinggi dan meningkatkan ketelusan antara pusat penyelidikan klinikal,” katanya.

Beliau berkata platform NHRVR akan mengambil konsep kajian klinikal yang digunakan oleh Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA) bagi Program Pemeriksaan dan Akreditasi kajian klinikal pertama pada manusia.

Dr Noor Hisham berkata penubuhan NHRVR di bawah Institut Penyelidikan Klinikal (ICR), Kementerian Kesihatan (KKM)  hanya boleh diakses oleh pengguna berdaftar dan terlatih, oleh itu memastikan keselamatan dan kerahsiaan data dapat dilindungi. – BERNAMA

CATEGORIES