Berita

Sumbangan F&N bukti kerjasama swasta mampu dilaksana – Zaizalnizam

240 karton minuman disumbang F&N bernilai kira-kira RM18,000 untuk kegunaan Sukarelawan Wilayah Prihatin (PriVo).
- Diterbit 3 Julai 2021 4:47 AM MYT

SEJUMLAH 250 karton minuman disumbangkan F&N Beverage Marketing Sdn. Bhd. (F&N) untuk kegunaan Sukarelawan Wilayah Prihatin (PriVo) bukan sahaja membantu malah turut menyumbang kepada keperluan mereka sebagai petugas.

Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Wilayah Persekutuan (YWP), Datuk Zaizalnizam Zainun berkata, adanya sumbangan sedemikian, membuktikan kerjasama swasta dengan YWP mahupun agensi dan kementerian mampu dilaksana atas kepentingan serta kebaikan bersama.

Beliau berkata, kerjasama seumpamanya sangat berpotensi diperluas lagi memandangkan inisiatif sumbangan F&N akan membantu dan memenuhi keperluan PriVo sebagai petugas serta sumber tenaga di semua program Kementerian Wilayah Persekutuan (KWP).

“PriVo sebagai petugas dan sumber tenaga yang penting untuk memastikan kelancaran program sumbangan mahupun pelarasan bagi pergerakan orang ramai sebagai contoh di Pusat Pemberian Vaksin (PPV),” katanya selepas sesi penyerahan sumbangan minuman F&N kepada PriVo di Ibu Pejabat YWP, Kuala Lumpur.

Serahan 250 karton minuman jenis teh tarik itu dilakukan Penyelaras Acara Khas, F&N, Mohd. Zahid Doi kepada Pengarah PriVo, Datuk Mohd. Irwan Rizal Mohd Ali Napiah.

Mengulas lanjut, Mohd. Zahid berkata, inisiatif sumbangan melalui program CSR itu sebahagian usaha berterusan F&N dalam membantu petugas barisan hadapan, warga B40 dan golongan yang memerlukan sebagai sokongan dan keprihatinan.

“Untuk hari ini, 250 karton minuman disumbang F&N bernilai kira-kira RM18,000, semoga ia dapat memanfaatkan petugas PriVo di lapangan nanti. Secara keseluruhan pula, RM3 juta diperuntukkan F&N untuk CSR program bagi tahun ini,” jelasnya

Sementara itu, Mohd Irwan Rizal menzahirkan terima kasih dan syukur di atas sumbangan dan kesungguhan F&N membantu para petugas PriVo yang giat menjalankan tugas di lokasi pemberian vaksinasi bergerak demi kelancaran program itu
di sekitar ibu kota.

“Alhamdullilah semoga dengan sumbangan yang diberi dapat menaikkan semangat petugas PriVo seterusnya memastikan objektif disasar melalui pemberian vaksinasi bergerak tercapai,” katanya. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas