Berita

Negara rapuh, perpaduan akan tergugat jika tidak dibendung – Anwar tegas tangani budaya takfiri

UMAT Islam harus melibatkan diri dalam majlis ilmu bagi membendung pemikiran pelampau yang menjurus ke arah takfiri.
- Diterbit 1 Disember 2023 12:00 AM MYT

BUDAYA takfiri atau kafir mengkafir sesama Islam sudah mula menusuk di negara ekoran berlaku pertentangan ideologi dan jalur politik yang berbeza.

Bibit-bibit perpecahan yang berlaku ini mendapat perhatian Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang mengingatkan mengenai bahaya budaya berkenaan boleh membawa perpecahan dalam kalangan umat Islam serta memberi kesan kepada rakyat berbilang kaum di negara ini.

“Jika kita ambil sikap tolak ansur terhadap gejala ini, negara ini akan rapuh dan tidak akan dapat bertahan.

“Selagi kita berkuasa, kita tidak akan izinkan negara ini diperkotak-katikkan atas nama agama dan kaum,” katanya yang juga Presiden PKR ketika menyampaikan Ucapan Dasar pada Kongres Nasional Tahunan PKR 2023 baru-baru ini.

Dalam pada itu, Mufti Pulau Pinang, Datuk Seri Dr Wan Salim Wan Mohd Noor berkata agama Islam melarang keras perbuatan mengkafirkan sesama umat Islam.

WAN SALIM

“Mengikut satu riwarat al-Bukhari bahawa Nabi SAW bersabda maksudnya, ‘Tidak menuduh seorang akan seorang yang lain dengan kekufuran atau kefasikan melainkan tuduhan itu kembali kepadanya (orang yang menuduh) jika yang dituduh bukan demikian.’

“Nabi juga bersabda yang bermaksud, ‘Barang siapa bersolat seperti kita, menghadap ke arah kiblat kita (ketika bersolat) dan memakan haiwan sembelihan seperti kita maka dia adalah seorang Muslim’.

“Larangan mengkafirkan sesama penganut Islam adalah disebabkan kesan buruknya ke atas masyarakat terutama ia boleh menyemarakkan perasaan benci membenci dan bermusuhan antara satu sama lain, seterusnya boleh memecahbelahkan masyarakat,” katanya.

Menurut Wan Salim, hukuman mengkafirkan seseorang muslim adalah haram tanpa disertakan bukti-bukti yang kukuh.

“Lantaran itu para ulamak Ahli Sunnah bersepakat tentang hukumnya haram mengkafirkan seorang Muslim tanpa bukti kukuh yang tidak boleh ditafsirkan melainkan kufur.

“Contohnya seperti seorang sujud kepada berhala, memijak kitab suci Al-Quran, mencaci Rasulullah SAW dan sebagainya,” jelasnya.

Beliau turut menegaskan, masalah perbezaan fahaman adalah perkara biasa namun, persengketaan wajar diselesaikan secara sihat dan berilmiah.

Wan Salim berkata beliau harap budaya takfiri dapat dielakkan kerana ia mendatangkan kemaslahatan kehidupan masyarakat majmuk di negara.

Selain itu, beliau juga berharap agar pihak berkusa mengenakan hukuman lebih berat kepada individu yang terlibat.

“Masyarakat Islam hendaklah berhati-hati agar tidak terjebak di dalam budaya takfiri yang merbahaya ini. Ia boleh merosakkan iman seorang Muslim di samping memutuskan hubungan silaturahim antara kaum kerabat dan sahabat handai. Belajarlah agama daripada guru-guru yang mursyid iaitu mereka yang ikhlas dan berkelayakan.

“Bagi mencegah gejala takfiri ini pihak berkuasa perlu mengenakan hukuman yang lebih berat ke atas mana-mana individu yang terlibat dengan kesalahan syarie ini,” katanya.

 

NORAZAM

Sementara itu, Timbalan Pengarah Akademi Turath, Muhamad Norazam Bahador menyifatkan budaya takfiri ini lahir disebabkan masih ramai yang tidak mengetahui kesalahan ini di sisi agama Islam.

“Perbuatan ini jelas berdosa kesalahan takfiri ini amat dilarang dalam agama Islam kerana Imam Ghazali telah menyebut dalan karangan beliau Al Iqtisad fil ‘Iktiqad.

“Perbuatan mengkafirkan seorang Muslim yang solat, mengadap Qiblat dan mengucapkan Syahadah adalah satu kesalahan yang mesti dielakkan sedaya upaya. Tersalah membiarkan seribu orang yang kufur meneruskan kehidupan adalah jauh lebih ringan berbanding tersalah menumpahkan dan menghalalkan darah seorang Muslim,” katanya kepada Wilayahku pada Selasa.

Beliau turut bersetuju dengan penegasan yang ditunjukkan Perdana Menteri kerana budaya takfiri adalah punca utama kepada permusuhan, pertumpahan darah dan ketidakstabilan masyarakat.

“Ia bermula dengan mengkafirkan secara bermudah-mudah, akan berakhir menumpahkan darah pihak yang disangka telah kafir oleh mereka maka budaya ini wajib disekat dan dibendung,” katanya.

Muhamad Norazam berkata peringatan, teguran dan kempen kesedaran oleh pihak autoriti agama perlu digiatkan secara lebih berkesan seperti khutbah, wacana, fatwa tentang budaya takfiri
“Pihak kerajaan juga perlu memanfaatkan hubungan baik dengan institusi Islam utama dalam dunia seperti Al Azhar Syarif untuk mengambil faedah dari pengalaman mereka dan juga panduan dari mereka dalam menghadapi golongan ekstremis dan budaya takfir dalam masyarakat.

“Agamawan mesti berterusan menjalankan tanggungjawab menasihati dan menegur budaya takfiri ini dalam semua ruang yang tersedia di hadapan mereka seperti meja-meja kuliah, media sosial dan sebagainya kerana ini adalah tanggungjawab agama terhadap mereka,” katanya. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas