Berita

NADMA nafi dakwaan MP DAP

PERDANA Menteri memutuskan bahawa kesemua mangsa bencana yang terkesan ekoran banjir wajar menerima BWI setiap kali ditimpa bencana.
- Diterbit 24 Disember 2021 12:38 PM MYT

AGENSI Pengurusan Bencana Negara (NADMA) menafikan dakwaan Hannah Yeoh bahawa terdapat tarikh tutup permohonan Bantuan Wang Ihsan (BWI) buat mangsa bencana yang terkesan ekoran banjir sejak Sabtu lalu.

NADMA berkata kenyataan Hannah Yeoh yang mendakwa FAQ pihaknya berkaitan BWI adalah bercanggah dengan keputusan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

“FAQ yang dirujuk adalah garis panduan lama.

“Ia tidak lagi terpakai lanjutan pengumuman Perdana Menteri dan arahan ini turut dilanjutkan kepada semua Kerajaan Negeri.

“Dakwaan Hannah Yeoh yang menyatakan terdapat tarikh tutup permohonan BWI adalah tidak benar,” jelas NADMA dalam satu kenyataan.

NADMA turut menafikan sekeras-kerasnya kenyataan tersebut kerana tidak ada tarikh tutup bagi BWI memandangkan kejadian bencana adalah sesuatu yang tidak dapat diramal.

Sementara itu, Mesyuarat Khas Penyelarasan Bencana Negara yang dipengerusikan Perdana Menteri hari ini, memutuskan bahawa kesemua mangsa bencana yang terkesan ekoran banjir wajar menerima BWI setiap kali ditimpa bencana.

Tambah NADMA, keputusan itu dibuat Perdana Menteri semasa mempengerusikan Mesyuarat Khas Pengurusan Bencana Bersama Menteri Besar dan Ketua Menteri.

NADMA turut memberitahu sebelum ini, kelayakan BWI hanya diberikan sekali dalam tempoh musim bencana.

“Atas keprihatinan Perdana Menteri, kini semua mangsa yang terkesan akibat bencana banjir boleh menuntut BWI sekali kali bencana menimpa tertakluk kepada pengesahan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (JPBD) dan diluluskan oleh Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN)

“Sehingga hari ini, sejumlah RM26.9 juta peruntukan fasa pertama telah disalurkan ke 11 buah negeri untuk pembayaran bantuan wang ihsan manakala tambahan akan diberikan mengikut keperluan,” ujarnya. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas