Berita

Shahidan arah petugas PKOB Dengkil pindah ke Hulu Langat segera

SHAHIDAN berkata beliau akan menghantar lebih ramai petugas dalam kalangan warga kerja KWP dan agensi di bawahnya bagi mempercepat operasi pembersihan sekali gus membantu penduduk yang terkesan dengan bencana ini.
- Diterbit 24 Disember 2021 3:03 PM MYT

PETUGAS Pusat Kawalan Operasi Banjir (PKOB) Dengkil yang diselia petugas Kementerian Wilayah Persekutuan (KWP) dan Perbadanan Putrajaya (PPj) di arah ke Hulu Langat dengan segera bagi membantu kerja-kerja pembersihan pasca banjir.

Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Dr Shahidan Kassim berkata, keputusan itu diambil bagi membantu kawasan Hulu Langat yang agak teruk terjejas di samping perlu melakukan operasi pasca banjir dengan segera.

“Keadaan di sini agak teruk dan setelah mendengar taklimat dari pihak kerajaan negeri, maka saya berpandangan kita perlu menumpukan kerja di Hulu Langat.

“Saya juga akan pastikan pasukan PPj yang kini berada di Dengkil akan bergerak dengan segera ke Hulu Langat untuk membantu kerja-kerja pembersihan di kawasan ini,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mendengar taklimat berkenaan bencana di Balai Penghulu Mukim Hulu Langat di sini hari ini.

Taklimat disampaikan oleh Pengarah Pusat Operasi Bencana Hulu Langat yang juga Exco Kerajaan Negeri Selangor, Mohd Khairuddin Othman.

Hadir sama, Pegawai Daerah Hulu Langat yang juga Pengerusi Jawatankuasa Bencana Daerah, Dr Ani Ahmad serta Ketua UMNO Bahagian Hulu Langat, Datuk Johan Abd Aziz.

Beliau berkata, pihaknya akan membantu menyediakan keperluan serta kelengkapan untuk operasi pasca banjir yang diperlukan.

“Kita mendengar keperluan-keperluan terkini pasca banjir diantaranya mereka perlukan lori RORO dan perlukan bot kerana dikhuatiri gelombang kedua nanti.

“Kita cuma perlu tambah lagi dan permintaan daripada mereka termasuklah jentera backho yang mereka perlukan dan kita akan beri lima buah lagi untuk kerja-kerja pembersihan lumpur dengan lebih cepat,” katanya.

Menurut Shahidan, beliau akan menghantar lebih ramai petugas dalam kalangan warga kerja KWP dan agensi di bawahnya bagi mempercepat operasi pembersihan sekali gus membantu penduduk yang terkesan dengan bencana ini.

“Setakat ini, kerajaan negeri telah mempunyai jentera kira-kira 950 orang dan yang kita ni, saya nak sebut ‘ramailah’.

“Sebab kita hendak gerakkan sukarelawan dan DBKL sendiri mempunyai lebih 9,000 kaki tangan, jadi kita akan gerakkan mereka menjadi sukarelawan termasuk semua kakitangan KWP dan agensi untuk datang membantu kerja-kerja pasca banjir,” katanya.

Pada lawatan itu, Shahidan turut menyerahkan sumbangan ‘water jet‘ kepada 14 Pengerusi Majlis Pengurusan Komuniti Kampung Daerah Hulu Langat bagi memudahkan kerja-kerja pembersihan dilaksanakan. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas