Berita

Empire Project redah banjir hantar bantuan kemanusiaan

PENGASAS Empire projek, Asraff Khan turun padang menyantuni beberapa kawasan yang terjejas akibat banjir.
- Diterbit 24 Disember 2021 8:00 AM MYT

REMUK jiwa melihat keadaan pasca banjir yang melanda daerah Hulu Langat, Selangor. Hujan lebat yang turun selama dua hari berturut-turut menyebabkan air sungai melimpah dan air di empangan juga dilepaskan secara berperingkat.

Keadaan ini secara tidak langsung menyebabkan banjir yang amat dahsyat melanda beberapa lokasi di daerah Hulu Langat. Banjir yang melanda pada tahun ini telah menyebabkan penduduk kehilangan tempat tinggal dan juga kerosakan harta benda.

ASHRAFF KHAN

Mendepani keadaan ini, Pengasas Empire Project, Ashraff Khan Md Najib bersama-sama 15 orang sukarelawan telah turut serta turun padang menyantuni beberapa kawasan yang terkesan akibat banjir iaitu di Kampung Rantau Panjang, Kampung Jawa, Kampung Dusun Tua, Kampung Batu 18 dan juga di Sungai Lui.

“Banjir yang melanda kampung ini pada kali terakhir adalah pada tahun 2012. Kali ini pada penghujung tahun 2021, banjir yang melanda amat dahsyat,” luah salah seorang penduduk Kampung Batu 18. Kampung Sungai Lui antara kawasan yang teruk terkesan akibat banjir di mana Sungai Lui bercantum dengan Sungai Langat dan keadaan ini sudah tentunya memburukkan lagi keadaan apabila hujan turun tanpa henti.

“Kami menyalurkan beberapa barangan keperluan asas yang diperlukan oleh mangsa banjir. Antaranya pad wanita, syampu, sabun, berus gigi, ubat gigi, air mineral, mop, kait air (wiper) dan beberapa barangan berupa makanan kering,” kata Ashraff Khan.

ANTARA sumbangan yang diagihkan kepada mangsa banjir

“Seramai 15 sukarelawan telah membuat persiapan dengan membungkus barangan mengikut keperluan yang berpusat di Pusat Operasi Empire Project Setapak,” tambah beliau.

Empire Project merupakan salah satu pertubuhan sah yang berdaftar di bawah nama Persatuan Empayar Kebajikan Malaysia (Empire Project) menyalurkan bantuan hasil sumbangan daripada pelbagai latar belakang masyarakat yang prihatin. Empire Project komited untuk membantu sesiapa sahaja yang memerlukan bantuan tidak mengira latar belakang, pegangan agama, bangsa dan warganegara tanpa sebarang kompromi.

Menurut Ashraff Khan lagi, penyerahan telah dijalankan mengikut garis panduan yang ditetapkan dengan keizinan Pihak Berkuasa Tempatan. Pematuhan norma baharu yangoptimum diberi  perhatian agar tiada kejadian yang tidak diingini.

“Bagi sesetengah orang, kerja kebajikan hanya sekadar datang memberi bantuan. Buat yang memahami, ianya adalah sebuah
kehidupan,” ujar Ashraff Khan.

Masyarakat prihatin di luar sana turut berpeluang menyalurkan sumbangan dalam membantu mangsa banjir melalui akaun rasmi Persatuan Empayar Kebajikan Malaysia (Empire Project) – Maybank : 564061431661. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas