Berita

MR. D.I.Y. tawar peluang kerjaya dan pembangunan

- Diterbit 30 September 2020 3:10 AM MYT

SELARAS dengan perkembangan pesat perniagaan dan pengambilan pekerja, syarikat peruncit perkakasan rumah MR. D.I.Y. memberikan lebih banyak tumpuan kepada aspek pembangunan sumber manusia dan terus berusaha membangunan pekerja yang berkelayakan dengan integriti dan sikap yang baik.

Pengerusinya Datuk Azlam Shah Alias berkata syarikat itu membekalkan pekerjanya dengan dua program latihan, yakni Supervisor Apprentice Programme (SAP) dan Manager Apprentice Programme (MAP) bagi membantu mengekalkan kualiti interaksi pekerja-pelanggan.

“Mereka yang memiliki sikap yang baik secara tidak langsung akan menjadi pekerja yang baik. Kita mulakan SAP pada tahun 2018 dan MAP pada 2020, bagi melatih para pekerja dengan kemahiran kerja dan insaniah bagi membolehkan mereka menguruskan kedai dan pelanggan dengan baik.

“Lebih penting lagi, dengan program ini, pekerja kami dapat melaksanakan tugas dan tanggungjawab, di samping pada masa yang sama membantu melaksanakan visi syarikat,” katanya kepada Bernama dalam temu ramah eksklusif di ibu pejabat MR. D.I.Y. di Seri Kembangan di sini hari ini.

Menurutnya Azlam MR. D.I.Y. mempunyai lebih 10,000 pekerja di seluruh negara dengan 85 peratus daripada mereka adalah rakyat Malaysia, dan sehingga kini syarikat itu telah melatih 532 pekerja di bawah SAP dan 12 pekerja di bawah MAP.

Beliau seterusnya berkongsi kisah kejayaan seorang pekerja, Faris Firdaus Mohd Khalid yang menyertai latihan SAP MR. D.I.Y. dua tahun lepas sebagai pelatih, dan kini telah menjadi pengurus bahagian.

“Dia menganggur selama empat bulan selepas menamatkan pengajian tinggi, apabila beliau terbaca iklan kerja kosong di laman web kami dan berminat untuk menyertai SAP MR. D.I.Y. Dalam tempoh tiga tahun dia telah membina karier yang baik di sini, dari pelatih kepada penyelia, pembantu pengurus, pengurus cawangan dan kini menguruskan 13 kedai.

“Disebabkan sikap yang tepat, dia telah membina kemahiran kepimpinan yang baik dan sentiasa mengamalkan pendekatan yang positif dalam melaksanakan kerja,” katanya dan menambah bahawa individu adalah dijemput untuk menyertai program berkenaan, kerana peluang sentiasa menanti mereka di MR. D.I.Y.

Tempoh program SAP adalah tiga bulan, manakala MAP enam bulan.

Sementara itu Naib Presiden Pemasaran Andy Chin berkata syarikat itu menerima respons baik daripada kempen pengambilan pekerja Julai lepas, dan mengambil 1,000 pekerja dalam tempoh dua minggu. Ia termasuk lebih 600 penganggur, 200 graduan, dan beberapa Orang Kurang Upaya (OKU).

“Kami pasti akan melancarkan satu lagi kempen pengambilan pekerja hujung tahun ini. Ia adalah proses berterusan bagi membantu mengurangkan pengangguran dalam negara,” katanya dan menambah MR. D.I.Y. yang memiliki 640 kedai di seluruh negara ketika ini, merancang untuk membuka lima lagi kedai menjelang hujung tahun ini. – BERNAMA

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas