Berita

Atlet renang wanita China pecah rekod Asia 100 meter kuak kupu-kupu

- Diterbit 30 September 2020 3:19 AM MYT

PERENANG China, Zhang Yufei, memecahkan rekod Asia untuk acara kuak kupu-kupu 100 meter wanita dengan catatan masa 55.62 saat dalam kejohanan renang peringkat kebangsaan di sini pada Selasa, lapor agensi berita Xinhua.

Zhang mencatat 0.45 saat lebih pantas berbanding bekas pemegang rekod Asia juga juara Olimpik, Liu Zige, yang dipegangnya selama 11 tahun. Catatan Zhang hanya berbeza 0.14 saat berbanding rekod dunia dipegang atlet Sweden Sarah Sjostrom.

“Ia di luar jangkaan saya. Saya ingat pencapaian terbaik ialah 55.8 saat,” kata Zhang.

Zhang berazam mahu memperbaiki lagi pencapaiannya dalam acara 200 meter kuak kupu-kupu.

“Olimpik Tokyo ditunda, dan ini peluang baik untuk saya. Saya ada lebih banyak masa untuk membuat persiapan dan akan berusaha mempamerkan aksi terbaik di Olimpik,” katanya.

Pada Ahad perenang berusia 22 tahun itu juga memecahkan rekod kebangsaan 100 meter gaya bebas dengan catatan masa 52.90 saat. – BERNAMA

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas