Biz

Mis Claire sasar RM5.5 juta jual koleksi raya plus size

NIKO Tan Bee Ai bersama Cik B dan Dina Nadzir
- Diterbit 23 Mac 2023 2:38 AM MYT

APABILA menjelang hari raya, pasti ada sesetengah antara kita yang berbadan besar tercari-cari butik atau kedai yang menjual pakaian sesuai dengan saiz badan.

Jangan tidak tahu, saban tahun jenama pengeluar pakaian dan busana wanita gempal ‘plus size’ popular di pasaran, Mis Claire tak ketinggalan terus menyajikan koleksi raya.

PENGASAS dan orang kuat Mis Claire, Niko Tan Bee Ai mula terlintas menjual jenamanya selepas salah seorang pasukan kerjanya merungut susah mendapatkan pakaian plus size

Tahun ini, jenama yang sudah 11 tahun di pasaran itu menampilkan tema Ikatan Raya dengan menghadirkan sembilan koleksi dengan harga mampu dimiliki, gaya serta pilihan warna tersendiri mengikut citarasa masing-masing.

Koleksi yang dijual ialah Petra, Minimal Embroidery, Easy Raya, Raya4All, Romance, Urban Cotton, Dainty Collection, Sahara Night dan Ikatan Raya.

NIKO Tan Bee Ai bersama Cik B dan Dina Nadzir

Malah, pertunjukan fesyen koleksi berkenaan telah dipersembahkan 11 Mac lalu di Bayswater, KLCC.

Menurut pengasas jenama itu, Niko atau nama penuhnya, Niko Tan Bee Ai, secara keseluruhannya daripada sembilan koleksi dipersembahkan merangkumi lebih daripada 30 pilihan baju raya.

“Rekaan pakaian yang ditawarkan oleh Mis Claire terdiri dari potongan klasik dan juga moden, memenuhi pelbagai tema sambutan raya di kalangan rakyat Malaysia dari tema Glam ke Santai. Ia termasuklah dari rekaan yang elegan hingga yang bergaya.

“Setiap pakaian diperuntukkan adalah untuk memenuhi keperluan pelanggan kami yang ingin tampil cantik dan anggun pada sambutan raya. Tapi
yang membuatkan rekaan raya ini unik kerana ia boleh dipakai selepas musim perayaan.

“Ia sekaligus menjadikannya satu pelaburan yang berbaloi. Kami juga ingin pelanggan yakin dengan pembelian mereka bahawa baju raya boleh dipakai bila-bila masa tanpa terhad mengikut sambutan semata-mata,” katanya.

CIK B dan Dina Nadzir mahu golongan wanita bersaiz comel terus perkasa diri dan kekal yakin

Tambah wanita kelahiran Alor Setar, Kedah berstatus ibu kepada dua cahaya mata ini, koleksi ditampilkan termasuk jenis potongan tradisional dan moden, Kurung serta jubah yang menggabungkan elemen klasik dan kontemporari.

“Matlamat kami adalah untuk memastikan bahawa setiap wanita ‘plus size’ akan menemui gaya yang diidamkan untuk sambutan raya.

“Rekaan pakaian tahun ini mempunyai gabungan warna yang indah dan unik yang menjadikan setiap pakaian benar-benar istimewa. Kami telah bekerja keras untuk menyediakan pakaian yang tidak hanya cantik tetapi juga selesa dan memenuhi citarasa pelanggan kami.

“Kami berharap rekaan dijual dapat memberikan kebahagiaan dan kepuasan kepada semua pelanggan kami,” katanya.

GAMBAR kenangan pasukan kerja Mis Claire, model dan peminat jenama itu yang hadir ke pertunjukan fesyen Ikatan Raya baru-baru ini.

Menyentuh mengenai tema diketengahkan, ia diilhamkan oleh pelbagai gaya fesyen yang dilihat semasa aktiviti ziarah musim raya di Malaysia.

“Fesyen selalu menjadi topik perbualan semasa perayaan dan kami percaya bahawa ia membantu mengeratkan hubungan silaturahim dan ikatan di antara keluarga dan sahabat handai,” katanya.

Koleksi raya kali ini dilancarkan secara berperingkat sejak 10 Mac lalu.

“Mis Claire meletakkan komitmen tinggi bagi memastikan wanita plus size tampil bergaya semasa sambutan Hari Raya. Oleh itu, saiz yang ditawarkan adalah dari XL hingga 7XL untuk memenuhi pelbagai jenis bentuk badan.

“Harga koleksi ini bermula dari harga mampu milik RM168 dan tidak melebihi RM299. Tak ketinggalan turut menawarkan nilai yang baik untuk bahan berkualiti tinggi dan kemahiran penjahit pakar. Untuk lebih lanjut boleh layari www.misclaire.com atau kunjungi Shopee, Lazada dan TikTok rasmi kami.

“Atau juga boleh ke stor fizikal kami di Taman Sea, Petaling Jaya, iOi City Mall, Sogo, dan Aeon Mall cawangan Shah Alam. Tahun ini juga kami merancang membuka cawangan stor di Johor Bahru,” katanya.

ANTARA koleksi raya Mis Claire

Jenama yang berdaftar di bawah syarikat Aishop Online Solution (M) Sdn Bhd di Petaling Jaya ini mensasarkan untuk membuat jualan sekitar 40,000 helai bagi koleksi raya dipasarkan.

“Kami sasar boleh meraih RM5.5 juta secara keseluruhannya untuk koleksi dijual,” katanya. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas