Utama

Minggu Budaya Malaysia 2021 secara hibrid 25-30 oktober

Gambar: MOTAC
- Diterbit 25 Oktober 2021 7:40 AM MYT

KEMENTERIAN Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) menganjurkan Minggu Budaya Malaysia (MBM) 2021 bertemakan “Bangkit Asal” untuk mengangkat atau menghidupkan kembali seni budaya dan warisan negara, secara hibrid mulai hari ini sehingga 30 Okt.

MOTAC dalam satu kenyataan hari ini memaklumkan Minggu Budaya Malaysia itu dijadikan ‘signature programme‘ (program pengenalan) kementerian sebagai wadah manifestasi kepelbagaian seni budaya dan warisan di Malaysia dengan cara menyediakan ruang bagi mengekspresi keragaman budaya.

Program itu melibatkan 10 jabatan atau agensi di bawah MOTAC yang mempunyai ‘signature‘ produk masing-masing, katanya.

Agensi terlibat ialah Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara, Jabatan Muzium, Jabatan Warisan Negara, Arkib Negara, Perpustakaan Negara, Istana Budaya, Perbadanan Kemajuan Kraftangan Malaysia, Balai Seni Visual Negara, Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (Aswara) dan Tourism Malaysia.

Pelbagai aktiviti menarik diatur setiap agensi sebagai pengisian menerusi platform Facebook MOTAC serta laman sesawang www.mbm2021.com, mulai 2.00 petang hingga 6.00 petang sepanjang enam hari itu.

Aktiviti yang akan dipersembahkan adalah berkaitan pengarkiban, pendidikan seni budaya dan warisan, seni persembahan, seni visual, kandungan manuskrip terpilih, seni dan budaya yang berteraskan akar budaya Malaysia.

Selain itu, video-video berkaitan pengiktirafan oleh Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO), artifak dan sejarah negara, serta penjenamaan Malaysia sebagai ‘Top of The Mind Ecotourism Destination of the World’.

Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Datuk Seri Nancy Shukri dalam kenyataan sama berkata pelaksanaan program itu seiring dengan perancangan strategik dalam Pelan Pemulihan Pelancongan MOTAC bagi memperluaskan aspek promosi untuk menarik pelancong apabila pintu sempadan dibuka kelak.

“Dengan adanya program seperti ini, ia diharapkan dapat terus menyemarakkan semula industri pelancongan dan kebudayaan negara dalam norma baharu,” katanya. – BERNAMA

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas