Utama

Pelancaran pakej internet Keluarga Malaysia

RIZAL berharap pakej tersebut membolehkan lebih ramai ahli keluarga mendapat manfaat sempurna daripada pemilikan peranti mudah alih 4G dan VoLTE untuk melengkapkan pengalaman Internet mereka.
- Diterbit 25 Oktober 2021 3:52 AM MYT

KEMENTERIAN Komunikasi dan Multimedia Malaysia (KKMM) menawarkan Pakej Remaja Keluarga Malaysia dan Pakej Peranti Keluarga Malaysia bermula 15 Oktober hingga 15 April 2022 bagi memastikan setiap orang mempunyai akses internet pada kos yang berpatutan.

Pengarah Pejabat Wilayah Persekutuan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia, Rizal Abd Malek berkata, dua pakej mampu milik itu adalah hasil kerjasama dengan enam syarikat telekomunikasi iaitu Celcom, Digi, Maxis, U Mobile, Telekom Malaysia dan YTL bagi membantu rakyat dalam jangka masa pendek.

Menurut Rizal, pakej diskaun yang akan berlangsung selama enam bulan itu merupakan inisiatif kerajaan bagi membantu golongan remaja dan para pelajar memperoleh akses internet serta memiliki peranti pintar mampu milik terutama golongan yang kurang berkemampuan dalam kalangan rakyat negara ini.

“Pakej Remaja Keluarga Malaysia adalah pakej prabayar khusus untuk golongan remaja dan pelajar termasuk pelajar pascasiswazah. Dengan hanya RM10 sebulan (dibayar untuk tiga bulan sebanyak RM30), mereka akan mendapat data 20GB untuk tiga bulan. Selain itu, mereka turut diberikan data 1GB percuma untuk aktiviti produktiviti setiap hari serta Internet asas tanpa had.

“Dengan pakej ini, pengguna boleh melakukan aktiviti seperti penghantaran mesej dan melayari Internet. Manakala, bagi data produktiviti, pembelajaran dalam talian serta aktiviti bekerja dari rumah boleh dilakukan tanpa kekangan data,” kata Rizal kepada Wilayahku pada Jumaat lalu.

Jelasnya lagi, Pakej Peranti Keluarga Malaysia pula akan membolehkan rakyat Malaysia memiliki atau menaik taraf kepada peranti mudah alih dan VoLTE secara percuma. Peranti tersebut dapat dimiliki dengan langganan serendah RM40 sebulan melalui kontrak selama 12 hingga 24 bulan tertakluk kepada jenis peranti dan perkhidmatan yang dilanggan.

“Pakej ini termasuk 1GB data percuma untuk aktiviti produktiviti. Setiap pengguna yang layak boleh melanggan sehingga dua pakej dengan mendaftar kad pengenalan yang sama,” ujarnya.

Rizal berharap pakej tersebut membolehkan lebih ramai ahli keluarga mendapat manfaat sempurna daripada pemilikan peranti mudah alih 4G dan VoLTE untuk melengkapkan pengalaman Internet mereka kerana kedua-dua pakej tersebut membolehkan pengguna menikmati kesalinghubungan yang lebih baik dan tahap penyampaian lebih berkualiti. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas