Artikel

Menyantuni cabaran luar jangka – Noraini

AGENDA pemerkasaan TVET akan membantu memenuhi keperluan masa
- Diterbit 8 November 2021 4:08 AM MYT

MARTIN Luther King, Jr., seorang aktivis Amerika yang memimpin pergerakan untuk hak-hak sivil bagi Afrika-Amerika, pernah mengungkapkan, “Life’s most
persistent and urgent question is, what are you doing for others?”.

Kata-kata ini sebenarnya amat dekat dalam menggambarkan peranan kita, lebih-lebih lagi dalam situasi luar jangka yang kita hadapi sekarang ini. Pada masa ini,
adalah sangat penting untuk kita saling berganding bahu membantu mereka yang memerlukan.

Oleh itu, Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad berkata dalam mendepani ancaman COVID-19, 43 buah Universiti Awam (UA) dan Hospital Pengajar Universiti (HPU) di bawah seliaan JPT telah dijadikan Pusat Pemberian Vaksin Institusi Pendidikan Tinggi (PPV IPT).

“Selain itu, pemberian vaksin secara pandu lalu dan perkhidmatan PPV bergerak / Outreach bagi memudah cara golongan yang memerlukan terutama warga emas dan Orang Kurang Upaya (OKU) termasuk mereka yang berada di kawasan luar bandar telah dilaksanakan dalam usaha untuk menjayakan Pelan Pemulihan Negara (PPN),” katanya.

Jelas beliau melalui pelaksanaan ini, Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) telah membantu Kerajaan dalam mempercepat akses rakyat kepada Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) dengan kadar 91,000 dos vaksin seminggu. Sehingga kini, semua PPV IPT ini telah berjaya memberikan lebih 2 juta dos vaksin kepada pelbagai lapisan masyarakat.

Tambahnya bagi memastikan kebajikan dan keselamatan pelajar terus menjadi keutamaan, KPT dengan kerjasama Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan COVID-19 Immunisation Task Force (CITF) telah menyediakan ruang bagi pelajar yang masih belum di vaksin atau menerima temu janji vaksinasi melalui aplikasi MySejahtera untuk menerima vaksin secara walkin di semua PPV terbuka.

Inisiatif ini adalah selaras dengan pengumuman rasmi KPT yang membenarkan pelajar yang telah lengkap proses vaksinasi untuk memasuki kampus IPT secara berperingkat bermula 15 Oktober yang lalu.

Noraini berkata kementeriannya juga mengorak satu lagi langkah proaktif demi menyantuni kesejahteraan para pelajar dengan menyedia dan membekalkan kit ujian kendiri COVID-19 kepada semua IPT sebagai usaha mengurangkan risiko kesihatan di kampus.

“Selain itu, di bawah inisiatif #KPTPRIHATIN dan selaras dengan prinsip kebersamaan dalam Keluarga Malaysia, program-program lima kesukarelawanan seperti MyVAC dengan lebih 7000 sukarelawan telah digerakkan melalui kerjasama dengan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM); Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) dan Kementerian Belia dan Sukan (KBS).

“Program seperti Misi Bantuan Banjir yang melibatkan lebih 4000 orang sukarelawan mahasiswa bagi meringankan beban mangsa khusus di negeri-negeri yang terjejas tahun ini serta MASKUM Volunteer Empowerment (MaVE) juga turut dilaksanakan dengan kolaborasi bersama Yayayan Sukarelawan Siswa (YSS) serta Majlis Kesukarelawanan Universiti-Universiti Awam Malaysia (MASKUM),” katanya dalam Majlis Pelancaran Yayasan Kebajikan Siswa Keluarga Malaysia KPT.

Beliau berkata KPT sentiasa mendengar suara mahasiswa di mana pengurangan yuran sebanyak 20 peratus kepada semua pelajar warganegara di Universiti Awam (UA) bagi Semester 1 Sesi 2021/2022 diumumkan.

“Ia sebagai tanda prihatin dan cakna kementerian terhadap bebanan keluarga dan pelajar sepanjang pandemik COVID-19 dan bakal memanfaatkan seramai 555,340 pelajar dengan nilai keseluruhan sebanyak RM175 juta.

“Kesemua inisiatif yang dilaksanakan oleh pihak Kementerian dan bantuan yang diselaraskan ini memberi fokus kepada perihal kebajikan dengan tujuan tidak lain dan tidak bukan adalah untuk memelihara kesejahteraan pelajar,” tegasnya. -WILAYAHKU 

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas