Artikel

PM lancar Yayasan Kebajikan Siswa Keluarga Malaysia

YAYASAN Kebajikan Siswa Keluarga Malaysia dilancarkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob baru-baru ini.
- Diterbit 8 November 2021 4:14 AM MYT

PERDANA Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob melancarkan Yayasan Kebajikan Siswa Keluarga Malaysia salah satu inisiatif di bawah Kementerian Pengajian Tinggi baru-baru ini.

Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Dr Noraini Ahmad dalam ucapannya berkata penubuhan yayasan ini seiring dengan fokus strategik KPT yang keenam, iaitu Menyemarakkan Semangat #KPTPrihatin.

“Bakal menjadi medium pengurusan dan penyelarasan aktiviti penjanaan serta penyaluran dana bantuan kebajikan mahasiswa di peringkat nasional.

“Yayasan ini juga melengkapi aspirasi untuk memantapkan tadbir urus dan menambah baik kecekapan urusan berkaitan kebajikan dan kesejahteraan pelajar merentas IPT,” katanya ketika Majlis Pelancaran Yayasan Kebajikan Siswa Keluarga Malaysia KPT baru-baru ini.

Noraini berkata terdapat 11 Agenda Memperkasa Mahasiswa yang telah diusulkan dan dipersetujui pelaksanaannya.

“Suka saya kongsikan di sini bahawa sebahagian besar daripada agenda tersebut telah pun kita laksanakan dengan jayanya iaitu Rumah Sewa Siswa yang mana garis panduannya dan Portal Rumah Siswa telah dilancarkan pada 5 Mac yang lalu.

“Jawatankuasa Khas PTPTN Bersama Mahasiswa juga telah ditubuhkan sebagai medium khas yang membolehkan mahasiswa terlibat secara langsung dalam proses pembuatan keputusan penyampaian perkhidmatan PTPTN.

“Di samping itu, kita juga telah membangunkan Modul Latihan Kepimpinan Mahasiswa Nasional atau LAKSAMANA bagi tujuan pembinaan sahsiah diri pelajar,” jelasnya.

Menurutnya lagi, pihaknya telah menaik taraf kualiti capaian internet melalui Malaysian Research and Education Network atau MYREN dengan peruntukan sebanyak RM50 juta juga telah diluluskan oleh Jawatankuasa Teknikal ICT Sektor Awam (JTISA).

Beliau berharap penubuhan ini dapat membantu meringankan pelajar yang kurang berkemampuan selain memperkasa dan memperluaskan prospeknya dari semasa ke semasa dengan pengukuhan sumber dana demi memastikan kelestarian pelaksanaannya. -WILAYAHKU 

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas