Artikel

MAIWP taja pelajar pulang

- Diterbit 8 April 2024 1:02 PM MYT

BAIK budi Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) menaja 10,000 mahasiswa daripada beberapa institusi pengajian tinggi (IPT) di sekitar Lembah Klang untuk balik ke kampung halaman sempena sambutan Aidilfitri.

Menurut Pengerusi MAIWP, Syed Kamarulzaman Syed Kabeer, tajaan itu dibuat melalui program Jom Balik Raya Bersama Mahasiswa dengan peruntukan keseluruhan RM1.6 juta.

Kawan-kawan Kedai Kopi difahamkan, pelajar berkenaan antaranya dari Kolej Universiti Antarabangsa MAIWP, Universiti Teknologi Malaysia Kuala Lumpur (UTMKL), Universiti Malaya (UM) dan Universiti Poly-Tech Malaysia UPTM).

Selain itu Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Kolej Profesional Baitulmal Kuala Lumpur (KPBKL) dan Kolej Islam Antarabangsa (KIA).

Tajaan MAIWP merangkumi bantuan tiket bas, kapal terbang serta duit poket RM100 bagi setiap pelajar. Sangat besar nilainya bantuan ini kepada pelajar, terutama yang kurang mampu. Sudah tentu ia meringankan beban mereka yang ingin balik ke kampung halaman meraikan hari raya.

Tahniah dan terima kasih kepada MAIWP yang sangat prihatin dengan keperluan pelajar. Malah MAIWP membantu pelajar melalui program lain seperti inisiatif Gerobok Rezeki.

Antara lain tujuannya untuk memberi sumbangan makanan asas, peralatan belajar dan barangan kebersihan diri bagi tempoh setahun kepada 10 universiti dengan peruntukan RM3 juta.

Kepada para pelajar, bersyukurlah dengan apa yang diperoleh. Hargai bantuan dengan belajar bersungguh-sungguh sehingga mencapai kejayaan cemerlang. Bertekad agar diri menjadi insan yang berguna demi keluarga, agama dan negara.

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas