Artikel

Masyarakat digital tumpuan utama Simposium Penyelidikan MCMC 2023

Sekitar sesi forum Simposium penyelidikan 2023 MCMC yang bertempat di Presint 2,
- Diterbit 25 Ogos 2023 7:10 AM MYT

KIRA-KIRA RM4 juta disalurkan oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) di bawah Program Kerjasama Penyelidikan Rangkaian Media (NMRCP) dan Geran Kajian Masyarakat Digital (DSRG) dari tahun 2008 sehingga kini dengan melibatkan lebih 50 projek penyelidikan.

Pada Fasa 1 yang berakhir 31 Mac lalu, MCMC telah melaksanakan panggilan kertas cadangan DSRG serta memilih 10 projek kajian daripada 125 kertas cadangan yang diterima daripada 33 universiti tempatan untuk pemberian geran berkenaan.

Ketua Akademi MCMC, Khaneeza Khalid berkata kertas cadangan bagi DSRG Fasa 2 pula sedang berjalan bermula 1 sehingga 31 Ogos ini.

“Sehubungan itu, kerjasama daripada ahli akademik dan penyelidik untuk membangunkan dan mengemukakan cadangan mereka dalam bidang yang berkaitan dengan kesejahteraan siber digital dan keterangkuman digital amat digalakkan.

“DSRG adalah geran kajian MCMC bagi menggalakkan pelbagai projek penyelidikan yang memfokuskan kepada kewarganegaraan digital dan kesejahteraan siber serta keterangkuman digital.

“Skop penyelidikan ini bertujuan untuk mengenal pasti jurang pengawal seliaan dan pembangunan yang menghalang kesaksamaan akses serta mencabar paradigma untuk memastikan tiada siapa yang ketinggalan atau dilucutkan sambungan digital,” ujar beliau yang membaca teks ucapan Pengerusi MCMC, Tan Sri Mohamad Salim Fateh Din pada Simposium Penyelidikan MCMC 2023 di Hotel Zenith, Putrajaya baru-baru ini.

Tambah beliau, setiap projek penyelidikan yang terpilih diberi geran sebanyak RM10,000 selama tempoh maksimum projek iaitu selama sembilan bulan termasuk enam bulan aktiviti penyelidikan dan tiga bulan untuk urusan pentadbiran projek.

Terdahulu, antara topik penyelidikan tersebut adalah tahap pengamalan alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) dalam kalangan pemain industri komunikasi dan multimedia yang dijangka menyediakan penanda aras ESG, mengenal pasti cabaran, peluang dan potensi kesan pelaksanaan ESG bagi pemegang lesen MCMC.

Dalam perkembangan lain, seramai 10 penyelidik daripada pelbagai latar belakang menerima Anugerah DSRG Fasa 1 2023. Antara penerima anugerah itu adalah penyelidik daripada Universiti Taylor, Subang Jaya, Dr Thanuja Rathakrishnan.

Tajuk kajian beliau adalah mengenai Impak Pelaksanaan Pelan Jalinan Digital Negara (JENDELA) terhadap rakyat Malaysia terutamanya daripada segi aspek keberkesanan komunikasi projek berkenaan.

“Kajian tersebut turut dibantu oleh empat orang penyelidik yang juga merupakan tenaga pengajar di Universiti Taylor. Diharapkan menerusi kajian ini, kita mendapat input mengenai penambahbaikan yang diperlukan bagi pelaksanaan JENDELA di Malaysia,” ujar beliau yang turut berterima kasih kepada pihak MCMC yang memberi peluang kepadanya.

THANUJA (dua kanan) menerima trofi Anugerah DSRG 2023.

DSRG FASA 2 SEHINGGA 31 OGOS

SESI Simposium Penyelidikan MCMC 2023 yang telah berlangsung baru-baru ini di Putrajaya bertemakan ‘Membina Kesedaran dan Penyertaan Dalam Masyarakat Digital di Malaysia’ telah mendapat sambutan menggalakkan dengan penyertaan seramai 150 peserta.

Agenda utama dan topik tumpuan adalah berkaitan dengan masyarakat digital. Beberapa panel terdiri daripada ahli akademik di universiti tempatan membincangkan tiga topik berkaitan masyarakat digital yang dijalankan dalam tiga sesi.

Sesi pertama berkaitan Mempromosikan Kesedaran Dalam Masyarakat Digital, bahagian ini menyerlahkan kesedaran awam tentang beberapa inisiatif berkaitan MCMC dan bagaimana penyelesaian boleh digunakan untuk menambah baik pendekatan pada masa hadapan.

Secara rumusannya, perlu ada peningkatan berterusan atau inisiatif untuk memastikan penggunaan rangkaian dan teknologi yang selamat serta berkesan. Cara terbaik untuk mendapatkan pendekatan ini adalah dengan meneroka persepsi orang ramai terhadap inisiatif yang dijalankan.

Sesi kedua pula membincangkan topik Penyertaan Masyarakat Dalam Masyarakat Digital. Bahagian ini menyerlahkan cara untuk memahami motivasi dan penyertaan masyarakat dengan menggunakan penemuan dan cadangan daripada penyelidikan terpilih yang menumpukan kepada penggunaan berita televisyen dan eksploitasi dalam talian kanak-kanak.

Sesi seterusnya menyerlahkan kecekapan beberapa inisiatif dan perkhidmatan kerajaan untuk meningkatkan kehidupan masyarakat dengan meneroka pemahaman orang ramai tentang inisiatif atau perkhidmatan tersebut dan berpandangan bahawa untuk membina sebuah negara yang mampan, kerajaan perlu sentiasa mencari jalan untuk menambah baik kemudahan dan operasi.

Terdahulu, simposium tersebut turut melibatkan pelbagai sektor termasuk pengamal daripada industri komunikasi dan multimedia serta penjawat awam termasuk 11 panel dalam kalangan ahli akademik dari universiti tempatan.

Antara panel terlibat adalah Profesor Dr Suharni Maulan, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia; Profesor Dr Chin Mui Yin, Universiti Tunku Abdul Rahman (UTAR); Profesor Dr Alyani Ismail, Universiti Putra Malaysia (UPM); Dr Siti Khadijah Zainal Badri, Universiti Nottingham Malaysia dan lain-lain. – WILAYAHKU

ANTARA panel dan moderator yang terlibat.
Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas