Artikel

MCMC bantu usahawan kecil selami ilmu digital

MUHAMMAD DINI menunjukkan cara menggunakan portal AgroBazaar Online kepada peserta program.
- Diterbit 25 Ogos 2023 7:08 AM MYT

SURUHANJAYA Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) sentiasa komited dengan matlamatnya dalam merapatkan jurang digital dan meningkatkan sosioekonomi penduduk luar bandar.

Antara inisiatif yang dijalankan MCMC adalah dengan penubuhan Pusat Ekonomi Digital (PEDi) untuk menyediakan pusat capaian jalur lebar secara kolektif di kawasan yang kurang liputan perkhidmatan internet.

Objektif PEDi antaranya untuk memastikan komuniti luar bandar meningkatkan taraf sosial dan ekonomi sekali gus mendapat kebaikan daripada peralatan teknologi maklumat (IT) dan penyambungan internet yang disediakan.

Terbaharu, MCMC bekerjasama dengan Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) dan PEDi menganjurkan Program Solusi Perniagaan Melalui Pemasaran Digital FAMA & MCMC 2023 yang dijalankan di beberapa PEDi terpilih di seluruh negara.

Program tersebut turut diadakan di PEDi Kampung Baru Nelayan, Sabak Bernam yang melibatkan 11 orang penduduk sekitar.

Program yang diadakan secara dua sesi iaitu pagi dan petang itu memberi pendedahan kepada usahawan pemasar agromakanan Malaysia di dalam perkhidmatan digital menerusi portal AgroBazaar Online.

Portal tersebut merupakan satu program di bawah Strategi Lautan Biru Kebangsaan (NBOS) iaitu infrastruktur e-dagang (E-Commerce) yang menjadi milik penuh Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) yang diuruskan FAMA.

Platform tersebut menyediakan pasaran baharu dan mampan untuk produk pertanian dengan mewujudkan satu komuniti perniagaan secara dalam talian bagi meningkatkan kualiti hidup komuniti.

Menurut Ketua Unit Pemasaran Digital FAMA Negeri Selangor, Muhammad Dini Muhadi, ia sangat membantu penduduk luar bandar terutamanya untuk memasarkan produk dalam perkhidmatan digital.

“Pada hari ini semua perkara boleh dibuat di hujung jari mereka apabila internet bertindak sebagai medium penting untuk pemasaran produk. Dengan adanya bantuan daripada MCMC yang menyediakan perkhidmatan internet menerusi PEDi, maka usahawan luar bandar tidak ketinggalan untuk bersaing dengan pasaran luar.

“Kita memberi info dan membantu para usahawan untuk memasarkan produk mereka melalui portal e-dagang AgroBazaar Online yang mempunyai lebih daripada 5,000 produk pertanian dan industri makanan.

“Dalam program ini, mereka dibantu mempromosikan produk di platform AgroBazaar Online serta platform e-dagang selain sesi latihan dan libat urus bersama usahawan agromakanan,” ujar beliau kepada Wilayahku.

Tambah beliau lagi, FAMA juga turut menganalisis produk usahawan sebelum dipasarkan dalam talian agar menepati ciri-ciri, syarat yang ditetapkan, cita rasa pengguna selain memberi nasihat dan bimbingan yang sepatutnya.

“Antara kelebihan AgroBazaar Online adalah mempunyai aplikasi berasaskan teknologi digital dengan fungsi e-dagang sepenuhnya, menawarkan sistem pembayaran dan penghantaran yang cepat dan lengkap serta tiada sebarang yuran dan kos tersembunyi.

“Selain itu, maklumat urus niaga dikongsi sepenuhnya dengan usahawan, sistem penghantaran yang lengkap dengan kepelbagaian pilihan, agen pemasar disediakan dan diberikan latihan hands on serta membantu dalam mempromosikan iklan dan publisiti secara percuma,” ujar beliau.

­­­PEDi BANTU WARGA LUAR BANDAR

Penubuhan PEDi ternyata memberi sinar baharu dalam kehidupan masyarakat luar bandar sekali gus memperkasakan usahawan kecil ke arah pendigitalan yang inovatif dan berdaya saing seterusnya dapat meningkatkan taraf sosioekonomi mereka.

Pengurus PEDi Kampung Baru Nelayan, Sabak Bernam, Nur Amira Mohd Tamam berkata­­­ PEDi bukan sahaja dapat membantu usahawan luar bandar meningkatkan hasil jualan bahkan memperkenalkan produk ke seluruh negara melalui kaedah digital.

NUR AMIRA

“Kalau sebelum ini usahawan luar bandar lebih kepada jualan dari rumah ke rumah tetapi dengan adanya PEDi ini kami menganjurkan kelas untuk belajar komputer dan seterusnya mereka dapat memasarkan produk di laman sosial.

Alhamdulillah saya tengok mereka juga suka belajar dan tidak malu bertanya jika tidak faham atau tidak tahu menggunakan komputer, apa sahaja kelas yang diadakan di sini sentiasa mendapat sambutan yang menggalakkan.

“Selain itu, pusat ini sentiasa menjadi tumpuan warga sekitar Sabak Bernam kerana ia bukan sahaja lengkap dengan kemudahan komputer bahkan sangat selesa untuk menganjurkan pelbagai program,” ujarnya waktu operasi PEDi setiap hari bermula 9 pagi hingga 6 petang.

REAKSI

“ZAMAN ini pemasaran secara digital lebih luas dan pantas. Memandangkan saya juga mempunyai produk untuk dipasarkan, jadi saya rasa ini adalah peluang terbaik yang tidak patut dilepaskan. Diharapkan lebih banyak lagi program seperti ini pada masa akan datang.”

Supiah Ton Sharip

“SAYA menjual produk pokok herba kunyit hitam untuk kesihatan. Jadi, AgroBazaar Online adalah platform yang terbaik untuk membawa produk ini keluar. Memandangkan saya tidak mahir dengan penggunaan media sosial, jadi saya ambil keputusan sertai program ini.”

Jaafar Muhammad

“UNTUK mengikuti kelas pemasaran digital di luar yurannya agak mahal sebab itu saya tak lepaskan peluang untuk turut serta program ini. Saya memang selalu ke sini untuk sertai kelas dan sebagainya. Terima kasih MCMC wujudkan PEDi.”

Safiah Mat Nor
SALAH seorang peserta sedang menggunakan portal AgroBazaar Online.
PEDi Kampung Baru Nelayan yang terletak di Sabak Bernam aktif membantu usahawan luar bandar. – WILAYAHKU
Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas