Berita

Malaysia, UAE jalin kerjasama pelaburan – PM Anwar

- Diterbit 6 Oktober 2023 3:00 AM MYT

MALAYSIA dan Emiriah Arab Bersatu (UAE) akan menjalinkan kerjasama melalui memorandum persefahaman (MoU) pelaburan antara Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) dan Majlis Pelaburan Antarabangsa UAE (UAEIIC) dalam usaha meluaskan lagi hubungan sedia ada, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau berkata kedua-dua negara juga meluluk (meneroka) ruang lingkup kerjasama berkaitan tenaga boleh baharu (TBB) antara MIDA dan Abu Dhabi Future Energy Company PJSC – MASDAR.

Menurutnya MoU ini bertujuan membangunkan secara bersama kapasiti sebanyak 10 gigawatt bernilai US$8 bilion dalam sektor TBB di Malaysia menjelang 2025.

Anwar berkata kesepaduan kerjasama Malaysia-UAE berkaitan perdagangan dan pelaburan turut diharmonikan dengan pelantikan Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Petronas Tan Sri Tengku Muhammad Taufik Tengku Kamadjaja sebagai Pengerusi Malaysia-UAE Business Council (MUBC), manakala Naib Presiden Kanan Mubadala Energy Rashid Alblooshi mewakili UAE.

“Insya-Allah, Malaysia dan UAE akan terus meneroka bentuk kerjasama dan hubungan yang lebih erat bagi mengukuhkan ekonomi kedua-dua negara,” katanya dalam catatan di Facebook beliau.

Terdahulu, Anwar yang dalam lawatan kerja dua hari ke UAE bermula Khamis, telah diterima menghadap Presiden UAE Sheikh Mohamed bin Zayed Al Nahyan yang juga Pemerintah Abu Dhabi di Istana Qasr Al Shati’ di sini.

Beliau yang diiringi Menteri Luar Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir dan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata sesi itu merupakan ruang lingkup bagi bertukar pandangan serta idea berkaitan isu glokal yang terkait selain perbincangan untuk mengukuhkan kerjasama dan hubungan sedia ada.

“(Ini) khasnya dalam bidang ekonomi, perdagangan, pelaburan, TBB, keselamatan makanan dan lain-lain yang memenuhi visi kedua-dua negara untuk masa depan yang mampan dan makmur,” katanya yang tiba di sini pada 5 pagi Khamis (9 pagi waktu Malaysia).

Selain bertemu dengan Sheikh Mohamed, Anwar turut mengadakan pertemuan dengan Menteri Pelaburan UAE Mohamed Hassan Al Suwaidi.

Perdana Menteri juga mengadakan sesi tidak rasmi dengan Pengerusi merangkap Pengarah Urusan Lulu Group International M. A. Yusuff Ali, Pengarah Urusan Pihak Berkuasa Pelaburan Abu Dhabi (ADIA) Sheikh Hamed Zayed Al Nahyan dan CEO Kumpulan Mubadala Khaldoon Al Mubarak.

Anwar turut menghadiri persidangan meja bulat bersama barisan pemimpin industri di UAE. – BERNAMA

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas