Berita

Malaysia-Turkiye perkuat kerjasama menerusi perkongsian teknologi – PM

MEMPERKUATKAN lagi kerjasama menerusi perkongsian teknologi. Kredit foto: FB ISMAIL SABRI
- Diterbit 17 Jun 2022 1:37 AM MYT

MALAYSIA -Turkiye akan memperkuatkan lagi kerjasama menerusi perkongsian teknologi, demikian menurut Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Menerusi hantaran di laman Facebook rasmi, Ismail Sabri berkata perkara itu merupakan antara isu yang dibincangkan semasa menerima kunjungan hormat Duta Besar Turkiye, Merve Safa Kavakcı bersama-sama wakil dua syarikat gergasi industri pertahanan negara itu hari ini.

Beliau berkata Malaysia akan menerokai peluang kerjasama perkongsian teknologi dengan syarikat Turkiye.

“Makina Kimya Endustrisi Kurumu (MKE) diwakili oleh Ketua Pegawai Eksekutif, Servet Akkaynak dan Turkish Aerospace Industry (TAI) diwakili oleh Ketua Pegawai Eksekutif, Temel Kotil telah mempelawa saya untuk melawat kilang mereka di Turkiye.

“Mereka berminat menerokai peluang perkongsian teknologi khususnya dalam bidang aset pertahanan dan aeroangkasa. Insya-Allah, kita akan memperkuatkan lagi kerjasama Malaysia-Turkiye,” menurut hantaran itu. — BERNAMA

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas