Berita

KWP rancang bina kolam takungan berteknologi tinggi di Kuala Lumpur

SHAHIDAN (tengah) sedang memberikan penerangan mengenai kerja-kerja interim tebatan banjir kepada Ahli Parlimen Kuala Lumpur di sebuah lokasi hot spot di Bukit Nenas di sini petang tadi.
- Diterbit 16 Jun 2022 1:46 PM MYT

KEMENTERIAN Wilayah Persekutuan (KWP) akan membina sebuah kolam takungan berteknologi tinggi sebagai langkah jangka panjang bagi menangani masalah banjir kilat di ibu negara, kata Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Dr Shahidan Kassim.

Beliau berkata, projek itu dijangka siap dalam tempoh tiga atau empat tahun akan datang di sebuah lokasi yang tidak dinyatakan.

“Kolam takungan banjir bawah tanah itu sudah dilakukan di Shanghai, Korea, Jepun dan Bangkok.

“Berkenaan kos kita belum dapat memastikannya lagi dan lokasi juga tidak perlu saya sebutkan kerana ia hanya menimbulkan spekulasi tetapi akan dibuat di bawah yang tiada bangunan,” katanya kepada pemberita selepas membuat lawatan di empat lokasi titik panas banjir kilat di ibu negara hari ini.

Lawatan itu turut disertai Ketua Setiausaha KWP, Datuk Seri Rosida Jaafar, Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Mahadi Che Ngah.

Ia turut disertai Ahli Parlimen Lembah Pantai, Fahmi Fadzil, Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok, Ahli Parlimen Wangsa Maju, Datin Paduka Dr Tan Yee Kew, Ahli Parlimen Kepong, Lim Lip Eng dan Ahli Parlimen Bukit Bintang, Fong Kui Lun.

Menurut Shahidan, melalui usaha menangani masalah banjir kilat, langkah yang diambil melalui Projek Tebatan Banjir Kilat Kuala Lumpur 2022 telah berjaya melancarkan aliran dua banjir kilat yang berlaku baru-baru ini, selain menyaksikan aliran trafik kenderaan berjalan lancar walaupun hujan berterusan.

“Ia adalah penyelesaian jangka pendek iaitu DBKL bertindak meletakkan beg pasir, menempatkan pasukan bit hot spot banjir DBKL dan menggunakan penyedut air daripada lori tangki di 24 kawasan hot spot banjir.

“Bagi usaha jangka panjang, DBKL akan mengusahakan kolam takungan banjir di bawah tanah dan ini akan dirujuk kepada Kabinet.

“Selain itu, Perdana Menteri juga dimaklumkan perkembangan banjir kilat ketika ini,” katanya.

Shahidan berkata, pihaknya kini sedang giat bekerjasama dengan kementerian lain dalam usaha menyelesaikan masalah kesesakan trafik termasuk meneliti semula kebenaran berniaga di bahu jalan di bawah program Wilayah Bebas Berniaga (WBB).

“Ia akan dipengerusikan Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Jalaluddin Alias bagi menyelesaikan isu kesesakan jalan raya.

“Kita juga meminta DBKL mengkaji semula WBB berikutan, kebanyakkannya berniaga di bahu jalan supaya tidak mengganggu kelancaran trafik.

“Selain itu, kita merancang mengadakan kempen yang bakal disasarkan kepada orang ramai supaya lebih menggunakan pengangkutan awam yang bertepatan dengan pengumuman Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob hari ini berhubung pemberian tambang percuma selama sebulan bagi semua pengangkutan RapidKL,” katanya. -WILAYAHKU 

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas