Berita

Malaysia perhebat usaha tarik pelancong India

KREDIT foto: Tourism Malaysia.
- Diterbit 23 Februari 2024 3:00 PM MYT

MALAYSIA mempergiat usaha mempromosikan pelancongan di India memandangkan ketibaan pelancong dari negara Asia Selatan itu menunjukkan trend pertumbuhan yang memberangsangkan.

Dalam kempen terbaru untuk menarik minat pengunjung dari India, seramai 39 pempamer Malaysia menyertai pameran South Asia Travel and Tourism Exchange (SATTE) di kawasan Greater Noida dekat New Delhi.

Antara yang menyertai acara yang berlangsung dari 22 hingga 24 Februari itu, termasuk pengendali pelancongan, Biro Konvensyen dan Pameran Malaysia (MyCEB), Pelancongan Selangor, Berjaya Hotels & Resorts dan Legoland Malaysia Resort.

Pesta makanan Malaysia selama lapan hari turut dilancarkan pada Khamis di sebuah hotel di sini.

“Dasar pengecualian visa kepada pemegang pasport India tahun ini kekal sebagai fokus utama kempen promosi pelancongan kami,” kata Timbalan Pengarah Tourism Malaysia di New Delhi, Akmal Aziz, .

Awal bulan ini, Malaysia menganjurkan festival makanan dan kebudayaan selama seminggu dan menyertai pameran Outbound Travel Mart (OTM) di Mumbai.

Tourism Malaysia turut mengadakan acara promosi di Bangalore, Chennai, Kolkata dan Ahmedabad, antara 11 dan 19 Februari untuk mengukuhkan imej Malaysia sebagai destinasi percutian terkemuka di Asia.

“Ribuan ejen pelancongan melawat gerai kami di OTM dan datang ke jerayawara bulan ini,” kata Akmal.

Selain daya tarikan membeli-belah, bermain golf dan pantai, promosi untuk mengetengahkan Malaysia sebagai destinasi majlis perkahwinan turut dianjurkan memandangkan ramai golongan kaya di India gemar memilih untuk mengadakan majlis itu di luar negara.

Malaysia Airlines, Batik Air, AirAsia dan IndiGo mengendalikan 181 penerbangan yang menawarkan 33,851 tempat duduk setiap seminggu untuk laluan India.

India, pasaran sumber kelima terbesar Malaysia yang menyumbang 587,703 pelawat dalam tempoh 11 bulan pertama tahun 2023.

Jumlah ketibaan pelancong asing Malaysia dalam tempoh Januari-November ialah 17.8 juta. – BERNAMA

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas