Utama

Malaysia, ASEAN kongsi pengalaman pembangunan ekonomi digital dengan Asia Timur dan Afrika

- Diterbit 22 Januari 2021 5:11 AM MYT

MALAYSIA dan ASEAN berkongsi pengalaman dan cabaran dalam membangunkan infrastruktur, tadbir urus dan ekonomi digital yang pesat semasa berlangsungya Dialog Webinar Asia-Afrika Bank Dunia Malaysia semalam, yang turut disertai negara-negara Asia Timur dan Afrika.

Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Saifuddin Abdullah yang mewakili Malaysia, berkongsi maklumat berkenaan menerusi telesidang bersama ahli panel forum mengenai usaha pembangunan ekosistem digital yang mantap sebagai asas untuk memacu ekonomi, ketika dunia sedang dilanda penularan wabak COVID-19.

Dalam catatan di laman Facebook rasmi menteri itu pagi ini, Saifuddin berkata beliau turut berkongsi pengalaman dan amalan terbaik yang dilakukan Malaysia dalam usaha pembangunan dan dasar digitalisasi.

Perbincangan webinar itu dikendalikan Pengarah Negara Bank Dunia bagi Brunei, Malaysia, Filipina dan Thailand, Asia Timur dan Pasifik Ndiame Diop.

Webinar antara lain memberi fokus terhadap usaha meningkatkan hubungan ekonomi dan memanfaatkan transformasi digital yang pesat untuk mendorong pemulihan ekonomi dan kemajuan pembangunan, ketika saat-saat getir ini.

Panel antaranya terdiri daripada Menteri Kanan dan Penasihat Khas Perdana Menteri Ethiopia Dr Arkebe Oqubay, Menteri Negara, Setiausaha Agung Presiden Republik Cote d’Ivoire Patrick Achi dan Wakil Setiausaha Rendah Ekonomi Negara dan Pembangunan Pihak Berkuasa Filipina Dr Rosemarie Edillon.

Malaysia mempunyai sejarah hubungan baik dua hala dan pelbagai hala dengan negara-negara Afrika termasuk Persidangan Bandung, Program Kerjasama Teknikal Malaysia (MTCP) dan Dialog Antarabangsa Langkawi yang telah membantu negara berkenaan memanfaatkan kekuatan dan kepelbagaian untuk bersama-sama menangani cabaran bersama sejak 1950-an. – BERNAMA

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas