Artikel

Bas mini nombor 13

KENANGAN manis menaiki bas mini mengingatkan kembali zaman awal mencari rezeki di Kuala Lumpur 30 tahun dahulu.
- Diterbit 18 September 2021 6:00 AM MYT

BERDIRI di tengah jejambat yang merentas jalan di depan Puduraya 2 Januari 1984 adalah kali pertama saya melihat suasana pagi di Kuala Lumpur.

Walaupun baru pukul 6.30 pagi tetapi kehidupan sudah bermula. Manusia sudah hilir mudik – berduyun-duyun bas mini mengaum dan menyusur jalan macam lipas kudung.

Pemandangan pertama kota yang menadah kehadiran saya itu memang menyesak lagi merimaskan. Itulah pagi pertama saya kehilangan ciapan burung murai dan merbah yang menjadi pembuka hari ketika di kampung. Semua sudah berubah apabila di kota.

Saya mulai bertanya sendirian, terdayakah untuk berada dalam kehidupan yang sedemikian? Melihat bas mini yang kecil dan penuh sesak dalamnya, saya seperti tumpang lemas dan tidak boleh bernafas. Itulah pengalaman baharu yang akan didepani sebagai perantau di kota batu.

Bas mini pengangkutan utama walaupun ada bas panjang seperti Sri Jaya, Fuh Hup atau Tong Fong. Tetapi bas mini lebih popular. Walaupun jalan sesak, bas mini mampu bergerak lebih pantas. Menyelit dan buat pusingan U asal sahaja ada peluang.

“Hang pi tunggu depan Kota Raya, cari bas nombor 13. Bayar lima kupang saja sampai la ke pejabat,” pesan ketua pemberita Douglas Tay. Waktu itu kira-kira dua minggu saya menjadi warga Utusan Melayu. Douglas kasihan kerana setiap hari menggunakan teksi untuk datang ke pejabat dan keluar membuat tugasan (assignment).

Banyak yang pilih bas mini kerana murah, tambang 50 sen walaupun tidak selesa. Berhimpithimpit macam ikan sardin, lebih menyeksakan ketika hari hujan. Tingkap ditutup dan semua penumpang tercungap-cungap macam ikan naik ke darat kerana kekurangan udara.

Laluan bas mini nombor 13 antara Chow Kit dan Salak Selatan yang menempuh beberapa stesen – Bangkok Bank, Kota Raya, Puduraya, Panggung Majestic, pejabat pos Jalan Pudu dan Jalan Chan Sow Lin. Untuk ke Utusan Melayu saya turun di simpang kepala Jalan Lima, kemudian menapak lebih kurang 500 meter.

Semua wartawan baharu pengambilan 1984 menggunakan bas mini. Ini termasuklah Datuk Aziz Ishak bekas Ketua Pengarang Kumpulan dan beberapa lagi yang menjadi individu terkenal. Aziz memang asal Kampung Baru dan cekap menggunakan bas mini.

Bas mini memang sangat menjimatkan. Kalau teksi boleh capai berbelas ringgit tetapi bas mini hanya 50 sen. Bas mini adalah pengangkutan untuk golongan marhaen seperti saya dan kawankawan. Bagaimanapun kena banyak bersabar, terutama waktu puncak sebelah pagi atau petang.

Kalau boleh duduk, itu dianggap rezeki yang datang bergolek. Malah yang boleh berdiri pun rezeki juga berbanding yang hanya bergayut di pintu sambil sebelah kaki memijak tangga. Beberapa kali juga saya mengalami pengalaman ngeri ini.

Bayangkan apabila bas mini itu membuat pusingan U dengan laju atau menyelit di tengah-tengah kesesakan macam motor kapcai. Berderau darah kerana gayat dan ngeri macam aksi dalam filem Jackie Chan. Tapi ini betul-betul, bukan filem.

Saya fikir mereka yang lahir tahun 1980 dan ke atas terlepas menikmati pengalaman naik lipas kudung ini. Generasi sebelum itu, kalau tidak pernah merasa thrill naik lipas kudung tandanya dia orang berada. Atau pangkat besar dan gaji pun besar.

Tetapi menggunakan bas mini boleh mengikis kesedaran sivik. Semuanya rempuh kerana mementingkan diri. Orang tua, orang kurang upaya (OKU) atau wanita mengandung tidak ada yang akan memberi laluan. Kota ini membentuk warganya menjadi sedemikian rupa.

Persekitaran sedemikian juga sedikit sebanyak membentuk saya menjadi seperti mereka yang lain. Malah saya sendiri sering melompat menggunakan pintu kecemasan di bahagian belakang bas waktu di Chow Kit.

Saya dengan tiga wartawan lagi – Zulkifli Ismail, Wan Zulkifli Wan Yaacob dan Idris Hamid menyewa sebuah flat uzur dua bilik di Taman Cheras. Flat kami tidak jauh dengan stesen bas mini laluan dari Taman Cheras Chow Kit. Kami turun di stesen Panggung Majestic untuk mengambil laluan bas mini nombor 13 ke Jalan Chan Sow Lin.

Ketika mula bekerja, Ketua Pengarang Kumpulan Tan Sri Zainuddin Maidin (Zam) selalu bertanya kepada wartawan baharu, “Dah baca paper?”, “Dalam Star ada apa?” atau “Dalam Berita Harian ada apa hari ini.” Selalunya beliau bertanya ketika kami tercungap-cungap baru sampai ke pejabat.

Antara kami, Zulkifli Ismail (sekarang menjadi pelakon) yang berani menjawab. “Mai dengan bas mini, tak dan nak baca.”

Jawapan ini bukan menyelamatkan malah mengundang kemarahan. Zam mahu setiap pagi sebelum masuk pejabat wartawannya sudah khatam semua surat khabar pesaing.

Warga kota ada caranya untuk memudahkan perjalanan dan menjimatkan. Mereka hafal nombor bas dan jalan-jalan yang dilalui. Setiap jalan ada nombor bas tertentu, ada kalanya dua tiga bas dari laluan lain melalui juga jalan yang sama.

Bangkok Bank, Kota Raya dan Bus Stand Kelang adalah ikon pada zaman kegemilangan bas mini.

Di tempat-tempat ini banyak bas mini melaluinya dan boleh pilih laluan yang dituju. Kalau berada di tempat-tempat ini mudahlah hendak ke mana-mana.

Sepanjang menjadi penumpang bas mini, saya ada beberapa kenalan yang menjadi konduktor. Menariknya menjadi kawan konduktor, selalu memberi saya menumpang dengan percuma. Mereka pun tahu saya wartawan di Utusan Melayu. Boleh dikatakan setiap hari ada orang ‘belanja’ tambang pergi dan balik.

Salah seorang konduktor saya panggil ‘Azian’. Wajahnya ada iras pelakon filem Azura, Azian Yusof. Dia selalu bertugas di laluan Taman Cheras ke Chow Kit. Nama sebenarnya saya tidak tahu. Tetapi selepas ayah menghantar motor kapcai Honda C70 dari kampung, saya terputus dengan bas mini dan kawan-kawan yang jadi konduktor.

Bas mini tetap meninggalkan kenangan manis apabila mengingatkan kembali zaman awal mencari rezeki di Kuala Lumpur. Pengalaman menjadi suatu yang amat berharga. Tidak ada nilai benda yang sama dengan pengalaman berwarna di kota batu ini. – WILAYAHKU – KU SEMAN KU HUSSAIN

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas