Berita

MAIWP membelanjakan RM30,000 bagi pembelian baju raya asnaf

- Diterbit 25 Mac 2024 11:18 AM MYT

MAJLIS Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) Labuan membelanjakan sebanyak RM30,000 bagi pembelian baju raya kepada 14 buah keluarga asnaf di pulau itu.

Usaha murni itu dilaksanakan menerusi Program Rahmah Ramadan MAIWP ‘Sinar Aidilfitri’ merupakan program tahunan MAIWP menyantuni golongan asnaf.

Menurut Pengurusnya, Md Fadzli Md Saad, semua penerima yang terpilih merupakan penerima Bantuan Bulanan MAIWP yang mempunyai tanggungan melebihi lima orang.

Katanya, penganjuran program itu turut mendapat kerjasama Jabatan Penyiaran Labuan (RTM) merupakan salah satu program tahunan pihaknya dalam membantu dan meringankan beban golongan asnaf dalam persiapan menyambut Hari Raya Aidilfitri.

“Bagi penganjuran program ini, MAIWP telah memperuntukkan sejumlah RM30,000 dan daripada jumlah itu setiap asnaf diberikan sebanyak RM300 bagi membeli kelengkapan pakaian raya.

“Program ini adalah bertujuan untuk membantu meringankan beban asnaf dan kita berharap dengan bantuan ini dapat menyemarakan kegembiraan dan keceriaan mereka menyambut Hari Raya Aidilfitri tidak lama lagi,”katanya kepada pemberita pada program Rahmah Ramadan MAIWP ‘Sinar Aidilfitri’ di sebuah Pasar raya di sini, hari ini.

Turut hadir, Timbalan Pengarah Jabatan Penyiaran Labuan Fauziah Sidek, Eksekutif Kanan PPZ MAIWP Muhammad Haziq Abang Sapri.

Tambah beliau, setiap anak asnaf turut menerima duit raya sebanyak RM50 yang membabitkan peruntukkan sejumlah RM4,100

“Manakala setiap ketua keluarga turut menerima RM100 sumbangan daripada Wakalah Pusat Pungutan Zakat (PPZ).

“Selain itu, mereka turut menerima sumbangan duit raya sebanyak RM150 setiap keluarga daripada Kelab Sukan dan Kebajikan RTM,”katanya. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas