Berita

Konflik Iran-Israel: Semua pihak main peranan pastikan ketegangan tidak memuncak

KREDIT foto: BERNAMA.
- Diterbit 14 April 2024 8:55 PM MYT

MALAYSIA berpendirian bahawa semua pihak harus memainkan peranan untuk memastikan ketegangan di Timur Tengah tidak terus memuncak demi kepentingan dan keamanan sejagat, susulan konflik terbaharu antara Iran dan Israel, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Anwar berkata semua pihak mesti berusaha untuk mencapai penyelesaian dengan menamatkan pertelingkahan di rantau terbabit.

Beliau berkata sebarang jalur penyelesaian yang dipilih tidak akan berkekalan sekiranya keganasan yang sedang berlaku ketika ini tidak ditamatkan dalam kadar segera.

“Malaysia kekal teguh dengan pendirian untuk bersama dengan warga Palestin yang terus menanggung derita daripada kemelut ini.

“Sekarang adalah ketikanya untuk semua pihak memainkan peranan dalam mendesak untuk menamatkan ketegangan,” katanya dalam kenyataan yang dimuat naik melalui Facebook beliau hari ini.

Terdahulu, Anwar mengadakan pertemuan dengan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Seri Mohamad Sabu, selain pegawai tertinggi kerajaan bagi membincangkan situasi terkini di rantau Timur Tengah.

Menurut Perdana Menteri, serangan yang dilancarkan Iran ialah tindak balas yang berpunca daripada serangan biadab Zionis Israel terhadap kedutaan Iran di Damsyik, Syria baru-baru ini dan tindakan rejim Zionis itu tentunya pelanggaran yang nyata terhadap hukum dan undang-undang antarabangsa.

Media antarabangsa hari ini melaporkan Kor Pengawal Revolusi Iran telah memulakan operasi serangan dron, menyasarkan lokasi di dalam wilayah yang diduduki Israel. – BERNAMA 

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas