Berita

Mahu Gadis,Tolak Janda… Kalau Menang Big Stage, USOP Mahu Kahwin?

|USOP akan mengumumkan sesuatu yang penting jika dia layak ke peringkat akhir Big Stage 2020|PERSEMBAHAN bertenaga dan tarian Usop mencuri perhatian juri dan penonton.
- Diterbit 27 Ogos 2020 12:38 AM MYT

PESERTA program realiti Big Stage 2020 yang sering mendapat pujian juri, Usop mengaku mahu menunaikan satu hajat besar dalam hidupnya jika berjaya ke peringkat akhir. 

Usop atau nama sebenarnya Muhammad Saiful Naim Muhd Noor, 21, memberitahu bahawa dia sudah ‘memasang’ satu niat penting apabila menyertai program realiti ini.

“Siapa tak nak menang kan? Kemenangan adalah bonus. Apa yang penting, target saya adalah berjaya untuk sampai ke peringkat akhir. 

“Boleh dikatakan, Big Stage ini juga salah satu platform untuk saya belajar menjadi penyanyi yang bagus pada masa akan datang.

“Sebenarnya saya masuk Big Stage  ini ada niat yang besar. Insya Allah… semoga segalanya dipermudahkan,” katanya kepada Wilayahku. 

Apabila diusik apakah niatnya itu mahu berkahwin apabila layak ke peringkat akhir, ini jawab Usop.

“Saya tidak akan beritahu niat itu sekarang. Kalau ada rezeki ke final, saya akan beritahu. Buat masa ini biarlah rahsia dulu,” jelas Usop yang kelihatan malu-malu apabila ditanya soalan tentang kekasih. 

USOP akan mengumumkan sesuatu yang penting jika dia layak ke peringkat akhir Big Stage 2020

Apa yang Wilayahku dengar, Usop sudah pun ada kekasih hati. Artis ke tu? 

“Rahsia laa.. Artis atau tidak, buat masa ini biar rahsia dulu,” katanya sambil ketawa.

“Saya tidak kisah si dia bertudung atau tak. Cuma kalau boleh umur lebih berusia daripada saya, tetapi bukanlah jarak umur yang terlalu jauh.

“Kalau boleh biarlah gadis dan bukannya janda,” katanya yang sebelum ini pernah digosipkan bercinta dengan penyanyi cantik Masya Masyitah. 

 

“Setiap Peserta Ada Kelebihan Masing-masing”

Usop adalah antara peserta yang menjadi perhatian juri mahu pun penonton apabila sudah memberikan yang terbaik untuk dua konsert mingguan Big Stage 2020. 

“Alhamdulillah… Saya tidak rasa ada banyak kelebihan kerana bagi saya setiap peserta ada kekuatan masing-masing. 

“Bagi saya, semua peserta Big Stage ini adalah keluarga. Saya sendiri tidak menganggap mereka sebagai pesaing. 

“Mereka ada karakter tersendiri. Misalnya orang melihat saya mempunyai karakter lawak. Peserta lain ada karakter istimewa yang lain. Bergantunglah kepada penilaian masing-masing. 

PERSEMBAHAN bertenaga dan tarian Usop pada konsert kedua Big Stage  mencuri perhatian ramai.

“Jujur saya cakap, saya memang tak pandai menari. Bila saya muncul dalam persembahan yang memerlukan saya menari, ramai yang tertanya-tanya kebolehan saya menari. 

“Kalau boleh saya mahukan kelainan dengan tidak menyanyikan lagu-lagu yang sudah biasa saya nyanyikan. Iyalah.. apabila bertanding di atas pentas, peminat atau juri mahu melihat kelainan pada bakat saya. 

“Mahu atau tidak, ini adalah pertandingan. Jadi kena cuba sesuatu yang baharu. Kita hanya berusaha, akhirnya ia terpulang kepada soal rezeki,” jelasnya yang popular dengan lagu Selamanya.

Untuk konsert minggu ketiga Big Stage, Usop akan berduet dengan Ara Johari menyanyikan lagu Senja Nan Merah nyanyian asal Awie dan Ziana Zain. 

Semoga Usop terus sukses! – WILAYAHKU

 

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas