Berita

Pentadbir sekolah diminta kesan pelajar miskin akibat PKP

|
- Diterbit 26 Ogos 2020 9:35 AM MYT

PENTADBIR sekolah khususnya di ibu kota diminta memberikan perhatian khusus terhadap murid-murid dari keluarga yang menjadi miskin ekoran perlaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri TPr Annuar Musa berkata, impak dan kesan daripada kemiskinan terhadap murid mudah dilihat ketika mereka berada di sekolah.

“Sekiranya murid hadir dengan pakaian yang tidak sempurna, kurang mendapat duit perbelanjaan harian atau tidak hadir atas sebab tidak mampu membayar tambang bas, maka sekolah antara yang paling awal mendapat maklumat.

“Sebab di sekolah, setiap hari cikgu akan tengok murid itu dan dapat melihat petanda atau simptom kemiskinan yang boleh menjejaskan masa depan murid berkenaan dan ia hendaklah dirawat secara segera tanpa kompromi.

Beliau berkata demikian ketika berucap dalam program lawatan dan menyampaikan sumbangan berupa wang tunai RM5,000 dan 4,000 pelitup muka kepada PIBG yang disumbangkan oleh Yayasan Wilayah Persektuan (YWP) di Sekolah La Salle 1 dekat Sentul hari ini.

Hadir sama Pegawai Pendidikan Daerah Sentul, Rozemi Khalib; Ahli Lembaga Pemegang Amanah YWP, Datuk Yahaya Mat Ghani; Ketua Pegawai Eksekutif YWP, Zaizalnizam Zainun; Guru Besar Sekolah Kebangsaan La Salle (1) Senul, Bascaran Arumugam dan Yang Dipertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) SK La Salle (1), Ahmad Faizal Jaafar.

Annuar berkata, pentadbir sekolah perlu mengemaskini data bagi memudahkan penyaluran bantuan kepada murid-murid ini terutama yang datang dari keluarga yang menjadi miskin setelah PKP.

“Ketika ini, tiada data terkini yang boleh saya rujuk kerana mungkin ada yang baru miskin.

“Mungkin semasa PKP ibu bapa mereka kehilangan pekerjaan kerana soal insiden kemiskinan ini merupakan perkara yang dinamik dan berubah-ubah,” katanya.

Dalam pada itu, Annuar turut melahirkan kekhuatiran terhadap laporan Tabung Kecemasan Kanak-kanak Antarabangsa PBB (UNICEF) yang mengatakan ada murid sekolah dari keluarga miskin sukar mendapatkan akses pendidikan secara e-learning ketika tempoh PKP.

“Murid-murid ini datang dari keluarga miskin dan tidak mempunyai peranti atau gajet bagi membolehkan mereka mengikuti pembelajaran secara e-learning.

“Dikatakan murid itu tinggal di rumah-rumah yang sempit terutama di kawasan Projek Perumahan Rakyat (PPR) dan Perumahan Awam (PA) dimana suasana dirumah tidak kondusif untuk belajar,” katanya.

Tambahnya, beliau meminta pihak sekolah dan jabatan pendidikan agar berhubung dengan KWP dan YWP agar pelajar-pelajar daripada keluarga asnaf yang terjejas dapat dibantu. OLEH: AZLAN ZAMBRY – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas