Berita

Putrajaya kini model pusat pentadbiran bagi negara asing

- Diterbit 27 Ogos 2020 3:05 AM MYT

PUTRAJAYA yang akan menyambut ulang tahun ke-25 Sabtu ini, kini mampu berbangga menjadi model pusat pentadbiran yang diakui setaraf dengan bandar-bandar pentadbiran dunia seperti Washington di Amerika Syarikat, Canberra di Australia, Ankara di Turki serta Sejong di Korea Selatan.

Dan sepanjang tempoh itu jugalah, Putrajaya, yang pembinaannya berkonsepkan bandaraya taman, telah dilengkapi dengan jalan yang luas di samping bangunan tersergam indah yang diterapkan seni bina berunsur Islam Melayu dan Moorish, yang telah menarik perhatian ramai pelancong tempatan dan antarabangsa.

Bandar moden yang terancang ini dilancarkan sebagai ibu kota pentadbiran negara pada 29 Ogos, 1995. Ia menjadi wilayah persekutuan ketiga Malaysia pada 1 Feb, 2001, dengan jumlah penduduk kini seramai 110,000 orang.

Namanya dipilih sebagai mengenang jasa Perdana Menteri Malaysia pertama, Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj, dan ia dibangunkan di atas bekas kawasan ladang kelapa sawit dan kawasan hutan seluas 5,000 hektar yang nama asalnya Prang Besar di Selangor.

Presiden Perbadanan Putrajaya Datuk Dr Aminuddin Hassim ketika dihubungi berkata, antara cabaran perbadanan sebagai pihak yang dipertanggungjawab terhadap Putrajaya ialah memastikan operasi kesemua pejabat yang berada di Putrajaya berjalan lancar.

Ini termasuk menjamin semua mesyuarat dan perbincangan yang melibatkan pegawai awam di Putrajaya berlangsung tanpa kerisauan dan sebarang gangguan.

Perbadanan Putrajaya akan memastikan tidak ada kompromi dalam kelancaran operasi kesemua kementerian dan agensi kerajaan di Putrajaya, yang menempatkan 23 kementerian dan hampir 100 agensi kerajaan.

Tambah Aminuddin, penyelenggaraan dijalankan secara berkala oleh Jabatan Kejuruteraan Perbadanan Putrajaya.

TEMPAT MENARIK

Aminuddin juga mendedahkan bahawa kerajaan Indonesia kini menjadikan Putrajaya sebagai rujukan bagi negara itu yang merancang untuk memindahkan ibu kotanya ke Kalimantan Timur.

“Indonesia mempelajari pengalaman Malaysia membangunkan Putrajaya kerana merasakan tidak banyak perbezaan di antara Malaysia dan Indonesia.

“Satu lagi faktor ialah pembangunan Putrajaya adalah dari sifar sehingga menjadi sebuah bandaraya pintar seperti hari ini,” katanya lagi.

Putrajaya juga sangat popular sebagai destinasi pelancongan Islam terutamanya dalam kalangan warganegara Indonesia dan seluruh dunia.

Jemaah umrah Indonesia yang terbang melalui Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) biasanya akan singgah melawat Putrajaya terutamanya untuk melihat dua masjid yang menjadi mercu tanda Putrajaya iaitu Masjid Putra yang diilhamkan dari seni bina Islam Parsi dan Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin, katanya.

Mengenai perancangan masa hadapan Putrajaya, Aminuddin berkata, selain perkampungan Al-Quran pusat pentadbiran Persekutuan itu akan menjadi pusat kecemerlangan sukan.

“Putrajaya dijangka memiliki stadium bola sepak yang bersifat futuristik dan stadium ragbi. Ini bertepatan dengan banyak aktiviti rekreasi dan sukan yang berlangsung di Putrajaya selama ini,” katanya lagi.

PUTRAJAYA DARI KACAMATA WARTAWAN ASING

Bagi mengenali Putrajaya dengan lebih dekat, wartawan Jawa Pos, antara akhbar harian yang terbesar di Jawa Timur pernah ditugaskan ke Putrajaya awal tahun ini bagi menghasilkan kolum mingguan mengenai Putrajaya.

Berasal dari Surabaya, Siti Aisyah Samu’i, 36, menghabiskan lebih dua minggu di Putrajaya bagi mengumpul maklumat, mengambil gambar, mengadakan temubual dan mengenali dengan lebih dekat Putrajaya.

Artikel yang dihasilkan Siti Aisyah disiarkan pada halaman tengah edisi hujung minggu Jawa Pos pada hampir setiap Ahad di bawah tajuk Ibu Kota Baharu.

Ruangan itu melibatkan rencana dari tiga lokasi iaitu Putrajaya, Nur Sultan dan Almaty di Kazakhstan dan Penajam, Paser Utara di Kalimantan Timur iaitu lokasi cadangan bagi bandar pentadbiran Indonesia.

Siti Aisyah ketika dihubungi menerusi emel berkata artikelnya mengenai Putrajaya disiarkan mulai pertengahan Januari hingga Jun lepas.

Ditanya pandangan beliau mengenai Putrajaya, beliau berkata, Putrajaya adalah sebuah bandaraya yang terancang rapi.

“Kalo (kalau) pusat pentabiran Indonesia jadi pindah, saya mahu kaya (gaya) Putrajaya,” katanya lagi.

Tambah Siti Aisyah yang pertama kali mengunjungi Putrajaya awal tahun ini atas urusan kerja, Putrajaya sangat teratur.

“Tasik buatan yang terdapat di Putrajaya indah. Bangunannya juga cantik-cantik. Di semua tempat perlu ambil foto,” katanya lagi.

Rasa kagum Siti Aisyah mengenai keindahan Putrajaya diceritakan dalam artikelnya yang bertajuk Setiap Sudut Putrajaya Adalah Spot Foto.

“Senibina dan senireka pelbagai bangunan yang terdapat di Putrajaya menjadikannya syurga bagi mereka yang gemar bergambar. Ini termasuklah bangunan pejabat kerajaan, jambatan dan taman-taman yang terdapat di Putrajaya,” katanya dalam artikel yang beliau kongsi bersama penulis.

Berada di Putrajaya selama lebih dua minggu atas urusan kerja, Siti Aisyah berkata beliau melihat banyak pasangan melakukan penggambaran pra-perkahwinan dengan latar belakang keunikan lanskap Putrajaya.

Mengulas mengenai Astaka Morocco, beliau menyifatkan binaan dan seni reka yang cantik di situ membuatkan dirinya seolah-olah berada di Maghribi.

Siti Aisyah turut berkongsi beberapa rencananya yang disiarkan Jawa Pos bersama penulis.

Antara tajuk rencana yang dihasilkan beliau mengenai Putrajaya bertajuk ‘Tak Ada Jem di Putrajaya, ‘Putrajaya Dipilih Lantaran Strategis’ dan ‘Putrajaya Kota Teratur’.

Siti Aisyah turut membandingkan perbezaan di antara Putrajaya dan Kuala Lumpur dalam rencana bertajuk ‘Kuala Lumpur Tidak Pernah Tidur, Putrajaya Menenangkan’ dan ‘Tak Ada Jem di Putrajaya.’

Dalam rencana bertajuk ‘Tanpa Pagar, Tak Ada Kejahatan di Putrajaya’, Siti Aisyah menemubual Ketua Polis Daerah Putrajaya (ketika Februari lepas) iaitu ACP Rosly Hassan yang menjelaskan kadar jenayah di Putrajaya adalah rendah walaupun sebahagian besar kediamannya tidak berpagar.

TARIKAN LAIN DI PUTRAJAYA

Siti Aisyah menyifatkan Putrajaya sebagai kota moden yang masih tetap menjaga nilai-nilai budaya ketimuran iaitu saling mengenali dan rapat di antara jiran tetangga.

Selain taman, Putrajaya memiliki sembilan buah jambatan yang setiap satunya ada nama dan keunikan tersendiri.

Antara jambatan yang menjadi mercu tanda Putrajaya ialah Jambatan Seri Wawasan iaitu jambatan tambatan kabel, Jambatan Seri Gemilang yang dikategorikan sebagai jambatan upacara dan Jambatan Putra yang diilhamkan dari reka bentuk Jambatan Khaju yang terkenal di Isfahan, Iran.

Jambatan-jambatan itu menghubungkan setiap Presint dengan pulau utama Putrajaya.

Pulau utama Putrajaya menempatkan Putrajaya Boulevard, jalan utama di pusat pentadbiran Persekutuan selebar 100 meter dan sepanjang 4.2 km dengan bangunan pejabat kerajaan di kiri dan kanannya.

Putrajaya Boulevard diilhamkan oleh jalan persiaran seperti Champs Elysees di Paris dan Isfahan di Iran.

Putrajaya juga memiliki bulatan jalan raya yang terbesar di dunia dengan diameter 3.5 km atau seluas kira-kira 100 buah padang bola sepak.

Bulatan ini terletak di Presint 1 dan di sepanjang bulatan berkenaan ada kira-kira 15 susur jalan keluar dan masuk.

PUJIAN PEMIMPIN ASING

Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah ketika berangkat pada satu majlis di Putrajaya pernah menzahirkan rasa bangga dengan pusat pentadbiran Persekutuan itu.

Baginda turut berkongsi mengenai pemimpin asing yang sering memuji dan menyebut nama Putrajaya setiap kali mengadakan pertemuan dengan baginda.

Titah Seri Paduka, ada pemimpin asing yang menyuarakan hasrat untuk mempelajari pencapaian Putrajaya dan rakyat Malaysia harus berasa bangga dengan perkara itu.

Sempena ulang tahun ke-25 Putrajaya, pelbagai acara sambutan melibatkan perhimpunan orang ramai yang dirancang sebelum ini ditunda ke tahun hadapan bagi mematuhi Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP)

Selamat Ulang Tahun ke-25 Wilayah Persekutuan Putrajaya! – BERNAMA

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas